Penyerang handalan Penang iaitu Rodrigo Dias terus membuktikan beliau selaku pemain paling berbaloi ditandatangani kelab tersebut bagi persaingan musim 2024/2025 menerusi ketajamannya.
Menjadi mangsa kritikan awal musim dek kerana impaknya kurang memberi kesan di posisi serangan, ia tidak mematahkan semangat Rodrigo untuk terus membuktikan keupayaannya di hadapan gawang gol.
Setakat ini, pemain dari Brazil itu sudah pun meledak 11 gol secara keseluruhan daripada 24 perlawanan dengan beliau turut merekodkan beberapa bantuan jaringan di pentas Liga Malaysia (Liga M).
Rekod gol itu melonjak selepas Rodrigo memastikan beliau meledak empat jaringan peribadi ketika membantu Penang menewaskan Kelantan Darul Naim (Kelantan DN) menerusi keputusan 6-1 semalam.
Pada aksi itu, Rodrigo dibawa turun dalam kesebelasan utama dengan membawa peranan selaku penggempur import Penang bagi memastikan misi tiga mata mereka tercapai.
Pemain kelahiran Brazil itu tidak mengambil masa yang lama untuk memastikan jaringan sulung perlawanan terhasil pada minit ke-29 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Selepas itu, Rodrigo seolah sukar untuk dikekang pertahanan lawan dengan jaringan demi jaringan terhasil dan beliau menoktahkan gol terakhir permainan pada masa tambahan babak kedua perlawanan.
Pujian penuh sudah tentu perlu diberikan kepada Rodrigo, kerana beliau tidak melepaskan setiap peluang terbaik dicipta untuk mendapatkan gol.
Selain tajam di hadapan gawang gol, pemain tersebut juga memainkan peranan penting untuk melancarkan siri serangan pasukan serta kerap memberi tekanan kepada pertahanan lawan.
Kualiti yang dicipta Rodrigo itu menyaksikan pelbagai pujian turut diberikan oleh para peminat khususnya atas ketajaman beliau yang telah meledak empat gol.
Selain Rodrigo, rakan sepasukan beliau dari Australia iaitu Dylan Wenzel-Halls turut menerima pujian penuh daripada peminat atas impaknya di atas padang.
Seperti diketahui, Dylan memainkan peranan cukup besar buat Penang dalam setiap perlawanan dihadapi dengan pemain itu bukan hanya bertumpukan kepada rekod gol, tetapi kreativiti di posisi serangan.
Sudah tentu para peminat kini turut mengharapkan pelbagai lagi perubahan positif dapat dijelmakan Penang bagi baki saingan akan datang supaya kedudukan semasa mereka di carta liga juga makin meningkat.