Selangor bakal meneruskan aksi mereka sebentar lagi dalam saingan AFC Champions League Two (ACL 2) musim 2024/2025 bagi peringkat Kumpulan H dalam misi pasukan itu untuk kembali mencipta kebangkitan.
Terdahulu, pasukan tersebut tampil dengan keputusan serba tidak menjadi apabila mereka mencipta kekalahan kepada wakil kelab dari Thailand iaitu Muangthong United menerusi keputusan 1-2 di halaman sendiri.
Tidak cukup dengan itu, momentum mereka terus disekat oleh Sri Pahang pula di saingan Piala Malaysia 2024/2025 menerusi keputusan 1-2 juga untuk tersingkir dengan lebih awal.
Sudah tentu kemenangan ketika ini sangat ditagih oleh para peminat yang mahu melihat sedikit peluang terbuka buat mereka untuk cuba melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam kejohanan ACL 2.
Pada aksi hari ini, Cebu FC bakal menjadi lawan wakil pasukan dari Malaysia itu dengan mereka bakal bertandang ke Stadium Memorial Rizal untuk membuat perhitungan getir tersebut.
Melihat kepada aksi hari ini, tiga pemain Cebu FC wajar diberi perhatian oleh Selangor untuk mengelak sebarang kemungkinan yang akan mengecewakan pasukan itu sendiri di halaman sendiri.
Abou Sy
Penyerang utama Cebu FC ini boleh dianggap cukup berbahaya di hadapan gawang gol ekoran ketajaman serta kelincahannya sudah pun terbukti di saingan domestik Filipina.
Enam perlawanan enam gol sudah direkodkan pemain tersebut di saingan utama Filipina untuk meletakkan beliau kini berada di kedudukan keempat terbaik selaku penjaring terbanyak.
Walaupun masih belum membuka akaun jaringan di saingan kedua tertinggi Asia itu, kelibat Abou jelas perlu diberi perhatian sepenuhnya atau Selangor bakal menjadi mangsa pertama penyerang tersebut.
Rintaro Hama
Pemain sayap lincah dari Jepun ini mampu mengkucar kacirkan mana-mana pertahanan lawan menerusi kualiti kawalan bola serta kepantasan dimiliki di atas padang.
Selaku pemain sayap, Rintaro mampu menawarkan kualiti daripada segi bantuan jaringan serta meledak gol dari pelbagai sudut menerusi sentuhannya.
Ketika ini, Rintaro sudah pun meledak tiga gol bersama satu bantuan jaringan daripada enam perlawanan diharungi beliau bersama kelab tersebut.
Ryoo Togashi
Seorang lagi pemain Jepun yang bertindak selaku nadi utama pasukan dan mampu menjadi perancang utama kepada siri serangan Cebu menerusi sentuhan beliau melakukan hantaran berbahaya.
Selain beraksi di posisi tengah, Ryoo juga boleh beraksi selaku pemain sayap kiri atau penyerang utama mengikut situasi serta percaturan taktikal dibuat pengendali kelab tersebut.
10 perlawanan telah direkodkan pemain ini dan Ryoo sudah pun merekodkan dua jaringan secara keseluruhan buat pasukan itu di pentas domestik serta saingan ACL 2.