Sebelum ini, dalam Nadi Arena terbitan Astro Arena, bekas penyerang skuad negara, Safee Sali ada menyatakan peluang terhad buatnya beraksi bersama KL City FC.
Baginya, peluang pemain tempatan amat terhad walaupun situasi boleh memihak kepada mereka sebagaimana yang dilaluinya iaitu kecederaan penyerang utama, Dominique da Sylva. Namun, Bojan Hodak memilih untuk tetap mengetepikannya.
Pengendali tersebut memilih unrtuk meletakkan gandingan Romel Morales dan Paulo Josue yang merupakan pemain tengah yang ditukarkan posisi dan peranan mereka. Jadi, mengapa Safee Sali tetap diketepikan walaupun KL City memiliki kudratnya?
Menurut perbincangan di Nadi Arena, Bojan Hodak sudah menjelaskan bahawa Safee Sali tidak sesuai dengan perancangan taktikalnya. Semua sedia maklum, Dominique da Sylva merupakan seorang targetman dan mungkin Safee Sali bukan begitu.
Selain itu, menurut Bojan Hodak, prestasinya sudah tidak seperti dahulu lagi. Katanya, “Kami harus menerima hakikat, Safee bukan lagi seperti pemain yang beraksi pada 2012. Dia akan diturunkan mengikut perancangan dan formasi yang bersesuaian.”
Ketika rakan sepasukannya, Zamir Selamat telah meminta untuk dipinjamkan keluar, Safee Sali memilih untuk kekal setakat ini. Zamir Selamat masih belum diturunkan dan beliau telah memilih untuk ke UiTM FC bagi membolehkannya diturunkan.
Mengapa Safee Sali tidak mengambil langkah yang sama? Mungkinkah beliau masih menaruh harapan untuk menjadi penyerang utama pasukan yang telah melahirkan bakatnya satu masa dahulu, walaupun peluangnya dilihat amat tipis?
Di laman sosialnya, Safee Sali dilihat telah mengulas mengenai isu prestasinya yang disebutkan oleh Bojan Hodak. Jelasnya, “Selagi pemain asing berada dalam majoriti pemikiran ketua jurulatih setiap pasukan, selagi itu berbagai alasan akan diberikan.”
“Hanya dapat peluang bermain 3, 4 minit dan paling lama 15 minit memang saya akui tidak dapat menunjukkan prestasi sebenar,” titipnya tentang isu prestasinya.
“Yang paling penting sumbangan saya dapat memberi lonjakan kepada pasukan. Mindset kena ubah, mentaliti kena percaya dengan produk tempatan. Support produk local,” tambahnya lagi dalam kenyataan yang dibuatnya beberapa hari lalu.
Adakah Safee Sali mengambil langkah yang silap meninggalkan PJ City FC, yang musim ini mempertaruhkan bakat tempatan sebagaimana yang disebutnya itu. Mengapa beliau memilih untuk angkat kaki daripada The Phoenix tempohari?
Sudah tentu pihak pengurusan pasukan sudah menjelaskan terlebih awal kepadanya mengenai perancangan musim 2021. Beliau merupakan pemain berpengaruh.
Oleh itu, jika Safee Sali mahu kembali beraksi, PJ City adalah tempat yang sesuai buatnya. Ketika ini, pasukan itu bergelut tanpa penyerang utama selepas Darren Lok mengalami kecederaan panjang sebagaimana dilalui Dominique da Sylva.
Pengendalinya, P. Maniam dilihat terpaksa meletakkan pemain serba boleh, Mahalli Jasuli di posisi tersebut. Dalam 629 minit permainan, Mahalli Jasuli yang bertindak sebagai penyerang utama masih belum berhasil meledak sebarang gol.