Beliau dikenang sebagai hero New Zealand. Gol dijaringkan beliau membawa New Zealand ke Piala Dunia 2010. Bahrain bungkam dek gol kemenangan itu.
Namun, beliau telah mengambil keputusan untuk bersara. Malah, sudah ada satu pekerjaan yang diceburinya sejak beberapa tahun dahulu! Ya, menjual aiskrim.
Langkah berbeza
Kebiasaannya, pemain bola sepak yang bersara akan menjadi jurulatih di padang latihan atau penganalisis di media. Atau pun melibatkan diri dalam pengurusan kelab. Ada juga yang membuka pub.
Beliau bersama isterinya, mengasaskan perniagaan aiskrim bernama Cowlick Creamery. Syarikat aiskrim itu berpangkalan di Plymouth. Beliau pernah beraksi di kelab Plymouth Argyle selama 4 tahun.
Semasa bersama Argyle, nama beliau menjadi sebutan peminat bola sepak negara Kiwi itu. Malah, agak jarang sekali kelab divisyen bawahan Inggeris mempunyai pemain yang dapat beraksi dalam saingan Piala Dunia.
Kegemaran
Rory mengimbau zaman kecilnya sebagai seorang anak kepada seorang jurulatih bola sepak. Sekiranya pasukan diwakilinya memenangi perlawanan, bapanya akan membelanjakan wang kepada pasukan dengan ais krim.
Malah, pasangan suami isteri itu juga suka menikmati pencuci mulut itu sekiranya bersiar-siar. Inspirasi itulah membuatkan mereka membangunkan jenama Cowlick Creamery.
Cowlick Creamery membekalkan ais krim untuk restoran di sekitar Plymouth. Malah, mereka juga membekalkan ais krim di majlis-majlis keraian seperti perkahwinan.
Kisah Bob Malcolm
Jauh di utara iaitu di Scotland, bekas pertahanan Rangers, Bob Malcolm turut menjual ais krim sebagai mata pencarian. Beliau juga pernah beraksi bersama kelab Australia, Brisbane Roar.
Kisahnya menjual ais krim ini tular di sekitar Glasgow. Malah, beliau sempat berjenaka bahawa sekiranya ternampak van putih dengan dekorasi Spiderman, jangan segan untuk memanggil!
Namun begitu, ada sumber mengatakan beliau membantu rakan keluarganya menjual ais krim. Tetapi, ia tidak menjadi masalah apabila beliau dapat bertemu dengan ramai orang.
Mungkinkah beliau dapat menjual ais krim di Ibrox?
Cabaran
Bukan senang untuk menjalani kehidupan selepas era sebagai pemain. Ada yang kekal bernasib baik kerana dikenali dan dapat membangunkan jenama perniagaan sendiri.
Itu belum lagi yang bergelumang dalam arena politik. Memang ada, tetapi tidak ramai!