Penjelasan Nafuzi Zain, Zainal Abidin Jawab Mengapa Terengganu Buntu Pecah Blok Pertahanan Penang

Penang Terengganu Nafuzi Zain Zainal Abidin 2022

Semuanya BOLA telah bertanya tentang beberapa perkara di sidang media dan berdasarkan jawapan Nafuzi Zain serta Zainal Abidin Hassan, mungkin ini punca Terengganu buntu memecah blok pertahanan Penang.

Bermula terlalu perlahan dan Penang FC tampak bertahan dengan baik adalah punca mengapa Terengganu FC tumbang selepas menang dalam tiga aksi berturut-turut. Ironinya mereka tumpas kepada pasukan tercorot liga.

Terengganu tewas mengejut 1-2 kepada pasukan bergelut, Penang di Stadium Bandaraya pada malam tadi.

Adakah pemain berasa terlalu yakin dan selesa sehingga merencatkan permainan mereka? Jika dilihat dalam 15 ke 20 minit permainan, perlawanan agak hambar dengan kedua-dua pasukan seolah-olah tiada arah.

Perlawanan yang bermula hambar apabila Penang bergelut untuk memiliki dan mengekalkan penguasaan, sementara Terengganu dilihat belum berminat untuk lebih menekan benteng tuan rumah di awal aksi.

Liga Super: 3 Mata Berharga Akhirnya Dilakar Penang Di Bandaraya

Bagi pengendali Terengganu, Nafuzi Zain, permulaan perlahan daripada pemainnya dan prestasi baik benteng serta penjaga gol, Hafizul Hakim menyumbang kepada kemenangan pertama Penang di Liga Super 2022.

“Dari awal permainan, saya nampak kita bermula terlalu perlahan, terlalu rileks. Berbanding dengan Penang, nampak mereka punya keinginan bermain, semangat, melebihi daripada Terengganu. Kita agak perlahan terutama di separuh masa pertama. Di separuh kedua, kita berubah. Kita cuba bangkit dan dapat 1-1.”

“Tetapi terlalu cepat kita beri gol dan di situ menambah lagi moral Penang untuk bertahan. Kita mencuba, ada banyak peluang tetapi pertahanan dan penjaga gol Penang bermain dengan sangat baik malam ini.”

Begitupun, Penang lebih berpeluang untuk berada di depan dengan beberapa percubaan, namun kekentalan penjaga gol pelawat, Suhaimi Husin berjaya menafikannya antaranya di minit ke-12 menerusi hantaran lintang Fairuz Zakaria dan minit ke-20 menerusi hantaran lintang Adib Raop yang bermain di posisi bek sayap kiri.

Bertahan dengan sangat kompak membuatkan Terengganu mati akal untuk memecah masuk ke defensive third Penang. Faisal Halim dan Faiz Nasir yang digunakan di sebelah sayap juga buntu untuk memecah masuk.

Inilah punca mengapa Terengganu buntu untuk melakar jaringan. Pergerakan mereka dimatikan Penang.

Para pemain Terengganu termasuk Nafuzi buntu memikirkan cara untuk memecah blok benteng lawan.

Menurut pengendali Harimau Kumbang, Zainal Abidin Hassan, pemainnya merantai enam pemain lawan.

“Kita tahu Terengganu memiliki rangkaian serangan yang berbisa sekali. Keenam-enam pemain mereka seperti Manuel Ott, Habib [Haroon], Faisal [Halim], Faiz Nasir, Kipre [Tchetche] dan [Kpah] Sherman.

“Inilah enam serangkai mereka yang sungguh berbahaya dan mereka dapat membuat satu serangan yang baik sehingga menghasilkan gol. Itulah satu kecuaian yang dibuat barisan pertahanan Penang.”

“Arahan telah diberi [kepada pertahanan] dan mereka mengawal keenam-enam ini dengan baik dan disinilah nampak kesungguhan mereka dan akhirnya mendapat kemenangan.”

Tekanan demi tekanan menyaksikan Penang memperolehi jaringan pembukaan di minit ke-23 menerusi rembatan deras Hilal El-Helwe yang menggantikan penyerang utama, Casagrande yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan. Ia merupakan hasil hantaran ‘cut-back’ oleh pemain sayap, Faizat Ghazli.

Disebabkan hilang penguasaan terutamanya di jentera tengah, pengendali, Nafuzi Zain terpaksa membuat pertukaran dengan memasukkan Nik Sharif Haseefy menggantikan Faiz yang tenggelam di babak pertama. Kecemerlangan Nik Sharif dalam aksi sebelum ini menyaksikan mereka menagih tenaga segar dan kreatif.

Dan ia membuahkan hasil seawal minit ke-49 apabila gerakan yang dijana oleh pemain sayap itu berjaya menemui terlebih dahulu Habib Haroon sebelum disudahkan oleh Faisal Halim untuk jaringan penyamaan.

Namun, ia tidak bertahan lama apabila seminit kemudian, Penang kembali di depan menerusi tandukkan pemain sayap, T. Saravanan yang menerima bola daripada tepisan Suhaimi daripada rembatan deras Hilal.

Perlawanan menjadi berat sebelah menuju 15 minit terakhir apabila pemain-pemain tuan rumah dilihat mula kepenatan akibat intensiti tinggi yang mereka pamerkan sejak wisel permulaan dan Terengganu menguasai aksi. Begitupun, deretan percubaan dan peluang yang mereka miliki gagal disudahkan dengan jaringan gol.

“Kemasukkan Nik Sharif bagi saya memberi impak. Kita menambah dari segi kelajuan di babak kedua dan gol penyamaan juga [bermula] daripada Nik Sharif. Perancangan kita itu betul tetapi peluang yang ada kita lepaskan. Penang juga bermain baik dari segi bertahan, mereka kukuh dan berdisiplin.”

“Penjaga gol mereka juga sangat cemerlang. Bagi saya kita sudah cuba yang terbaik tetapi mungkin tidak cukup untuk kita menang malam ini.”

Nafuzi Zain, sidang media pasca perlawanan Penang-Terengganu

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN