Pasukan Thailand bawah-23 perlu berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Somporn Yos yang menyelamatkan penalti Arab Saudi bawah-23 pada separuh masa pertama dan menyelamatkan banyak lagi percubaan berbahaya selepas seri 1-1 semalam.
Ini adalah mata pertama bagi Thailand yang kali pertama layak menyertai kejohanan AFC Bawah-23.
Arab Saudi kuasai perlawanan, Thailand serang balas
Menentang salah satu kuasa bola sepak Asia, Arab Saudi, skuad bimbingan Kiatisuk ‘Zico’ Senamuang nyata bermula dengan penuh gementar.
Arab Saudi lebih banyak menguasai perlawanan manakala Thailand lebih banyak bertahan. Baru 11 minit perlawanan berlangsung, Arab Saudi dihadiahkan penalti selepas penyerang mereka ‘dijatuhkan’ oleh pemain pertahanan, Adison Promrak.
Tetapi jika anda melihat perlawanan tersebut, ulang tayang jelas menunjukkan pemain Arab Saudi bijak menjatuhkan badannya untuk meraih penalti ketika Promrak datang mencabarnya.
Bagaimanapun sepakan penalti Arab Saudi tersebut berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Somporn Yos.
Arab Saudi terus menguasai perlawanan selepas itu. Bagaimanapun Thailand juga tidak kurang bahayanya, pantas melancarkan serangan balas dan mencatatkan jumlah percubaan yang lebih banyak daripada Arab Saudi.
Pemain berusia 18 tahun Thailand mengubah perlawanan
Selepas terikat 0-0, Thailand bermain dengan lebih tenang. Mereka mula menguasai perlawanan.
Bagaimanapun Arab Saudi terlebih dahulu mendapatkan gol apabila kesilapan Promrak membiarkan Mohammed Al-Saiari menanduk mudah hantaran lintang dari sayap kanan. Arab Saudi 1-0 Thailand.
Ketika perlawanan berbaki 15 minit dan Thailand memerlukan gol untuk menyamakan kedudukan, Zico membawa masuk Worachit Kanitsribampen.
Kanitsribampen adalah prodigi bola sepak Thailand yang baru berusia 18 tahun tetapi pernah mendapat tawaran trial daripada kelab J1 League, FC Tokyo.
Kemasukan Kanitsribampen nyata membuahkan hasil. Urgency dan keberanian beliau melakukan hantaran berbahaya menghasilkan situasi kelam kabut di bahagian pertahanan Arab Saudi, sekaligus menghasilkan gol penyamaan yang dijaringkan Pinyo Inpinit pada minit 84′.
Media Thailand berterima kasih kepada tangkal
Tetapi apa yang menarik adalah, semasa kami menonton live streaming perlawanan tersebut (yang disiarkan melalui siaran langsung TV Thailand), kamera kerap kali fokus ke satu objek berwarna keemasan yang tergantung di jaring pintu gol Thailand.
Perkara pertama yang terlintas di fikiran kami adalah, adakah itu tangkal?
Ternyata telahan kami betul.
Tangkal pemberian sami Buddha
Menurut rakan kami di Thailand, persembahan hebat penjaga gol mereka, Somporn Yos, mungkin ada kena-mengena dengan tangkal ‘Harimau Luang Por Uthai’ pemberian sami Buddha terkenal dari kuil Wat Koh Ta Phut Photharam di province Ratchaburi.
Tangkal tersebut diperbuat daripada emas tulen dan dikatakan mampu memberi ‘perlindungan dan nasib yang baik’.
Baca juga: Thailand Juara Kejohanan AFF Bawah-16