Terlajak perahu boleh diundur, terlajak post gambar di Iran buruk padahnya.
Penjaga gol skuad kebangsaan Iran dan kelab Persepolis, Sosha Makani telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak berkuasa Iran kerana memuat naik ‘gambar yang melacur dan mengkorupkan moral masyarakat’ ke Instagram miliknya.
Dalam koleksi gambar-gambar tersebut, Makani dilihat bergambar dengan dua orang wanita yang tidak menutup aurat dan berpakaian seksi.
Selepas Revolusi Islam yang berlaku di Iran pada 1979, wanita di Iran diwajibkan memakai pakaian labuh dan hijab. Baru-baru ini, sebuah draf undang-undang kontroversi mencadangkan polis dan askar sukarelawan mempunyai kuasa untuk menghukum wanita yang tidak memakai pakaian labuh dan hijab. Draf undang-undang tersebut ditolak oleh parlimen Iran.
Sementara itu, peguam Makani mendakwa akaun Telegram milik anak guamnya digodam dan 2 orang lain telah memuat naik gambar yang terkandung dalam akaun Telegram tersebut ke akaun Instagram beliau.
Makani turut memberitahu polis bahawa salah satu perempuan dalam gambar tersebut adalah tunangnya.
Laporan daripada BBC Persian mengatakan Makani telah dibebaskan dari lokap setelah dijamin dan beliau sudah menghadiri latihan pasukan. Siasatan kesnya masih berjalan.