Peningkatan yang ditunjukkan oleh Terengganu di Liga Super selepas Ogos menyebabkan mereka diletakkan ramai sebagai pasukan pilihan dalam Piala Malaysia.
Jangkaan Terengganu akan layak ke suku akhir dengan mudah nampak realistik dan boleh dicapai berdasarkan kekuatan pasukan.
Bagaimana prestasi mereka di Piala Malaysia 2015?
Terengganu memulakan kempen dengan keputusan seri 0-0 dengan JDT II dan ia boleh dikira mengejutkan.
Tetapi ‘malapetaka’ terbesar mereka adalah apabila dibelasah juara Liga Premier Kedah dengan 5-0 di Darul Aman.
Kekalahan ini sangat mempengaruhi mentaliti Terengganu. Ini kerana dalam perlawanan seterusnya menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, mereka tewas 2-3 pula.
Terengganu bagaimanapun berjaya bangkit dalam 2 perlawanan seterusnya, menang 3-1 menentang Kedah dan 2-1 menentang JDT II.
Dalam perlawanan terakhir kumpulan, Terengganu perlu menang untuk sekurang-kurangnya melangsaikan dendam kalah di Stadium Jalan Besar.
Malangnya Terengganu tewas lagi. Lions XII menewaskan Terengganu 2-1.
Berikut adalah rumusan prestasi Terengganu dalam Piala Malaysia 2015:
- Gagal mara ke pusingan kalah mati, tempat ke-3 kumpulan A
- 2 kemenangan, 1 seri, dan 3 kekalahan di peringkat kumpulan
- Dibolosi 12 gol di peringkat kumpulan. Hanya PDRM (16) dan ATM (13) sahaja yang memiliki rekod lebih buruk.
- Nisbah 1.3 gol setiap perlawanan dan bolos yang agak teruk (2 gol setiap perlawanan).
- Kekalahan 5-0 kepada Kedah adalah kekalahan terteruk edisi Piala Malaysia 2015
Apa yang mereka boleh perbaiki ?
i. Pertahanan
Kelemahan pasukan ini adalah pertahanan, pertahanan dan pertahanan.
Dengan bahagian serangan gagal memberikan nisbah gol lebih besar, Terengganu tak ada kapasiti untuk menang selesa. Satu-satunya clean sheet mereka adalah ketika menentang JDT II – pasukan yang mempunyai jentera serangan paling lemah dalam kumpulan A.
Terengganu sangat naif dalam aspek melindungi (shielding) back four. Lebih malang, pemain tonggak seperti Vincent Bikana berada dalam prestasi tak memuaskan.
ii. Terdapat penurunan prestasi di bahagian serangan
Di bahagian serangan pasukan ini agak menurun. Dengan ketiadaan Paulo Rangel, Terengganu terpaksa bergantung kepada Norshahrul Idlan Talaha yang mengalami penurunan prestasi dan Issey Nakajima – asalnya pemain sayap.
iii. Isu teknikal
Saya tidak ada masalah dengan formasi dan taktikal pasukan Terengganu secara keseluruhannya kerana Ahmad Yusof antara tactician yang sedang meningkat naik.
Bila berbicara soal squad depth, mereka ada depth yang cukup baik di serangan. Tetapi tidak di bahagian pertahanan terutamanya posisi defensive midfielder.
Nordin Alias adalah satu satunya defensive midfielder yang Terengganu ada.
iv. Kreativiti
Ini aspek paling mengejutkan bagi saya. Di mana kreativiti Terengganu yang mereka pamerkan ketika mereka mendaki Liga Super dari bawah hingga ke kelompok atas dulu?
Saya suka menonton perlawanan pasukan Terengganu kerana kreativiti dan fluiditi mereka.
Tetapi dalam kempen kali ini, banyak kali pemain seperti Issey yang berjuang dan mencari gol secara bersendirian. Tiada servis dan teamwork yang ditunjukkan oleh pemain lain untuk menyokong Issey.
Taktikal dan formasi pasukan
Jika dalam Liga Super, formasi 4-3-3 dan 4-4-1-1 digunakan Terengganu. Dalam kempen Piala Malaysia, Terengganu lebih banyak fokus kepada formasi 4-4-1-1.
Dalam formasi ini, Norshahrul bermain di belakang Issey yang bertindak sebagai penyerang tunggal.
Di posisi tersebut, gaya permainan Norshahrul lebih hampir kepada attacking midfielder, bukannya second striker. Ini menyebabkan adakalanya Terengganu dilihat seperti bermain dalam formasi 4-5-1.
Pergerakan serangan mereka menjadi tak lancar. Kerap kali Issey dilihat berseorangan di atas tanpa sokongan pemain lain.
Kesannya, pemain no.10 seperti Ashaari Samsudin dan Ismail Faruqi bukan lagi menjadi pilihan utama dalam sistem baru pasukan yang lebih rigid.
Satu lagi kelemahan ketara Terengganu terserlah apabila mereka mula menghadkan fungsi Gustavo sebagai deep lying playmaker sahaja dalam taktikal mereka pada Piala Malaysia berbanding ketika Ahmad Yusof mula mengambil alih di Liga Super.
Saya berpendapat Gustavo perlu diberi kebebasan untuk naik turun padang seperti box-to-box midfielder untuk mendapat output lebih baik daripadanya.
Pemain Terbaik
Issey Farran Nakajima
Walaupun posisi penyerang bukanlah posisi semulajadinya, Issey masih menyerlah pada pandangan saya.
Ketika Terengganu terpaksa berhadapan dengan sikap tidak profesional Paulo Rangel dan penggantungan perlawanan Norshahrul, Issey membuktikan keversatilannya sebagai penyerang utama dengan 3 gol.
Penilaian
Corak taktikal
Kekuatan & kelemahan
Kesimpulan
Pasukan ini ada kekuatan teknikal yang baik di semua sektor kecuali di posisi defensive midfielder.
Ini sesuatu yang perlu diperbaiki oleh Terengganu kerana mereka sukar mencatat clean sheet walaupun mempunyai salah satu penjaga gol terbaik di malaysia.
Namun saya tetap memberikan kredit kepada cara mereka bermain bola sepak secara moden dan hantaran bola rendah.
Walaupun bukan kelas dunia tetapi mereka antara model terbaik di negara kita buat masa ini.
Baca juga: Penilaian Prestasi Piala Malaysia 2015: Kelantan FA