Pengurusan Kontrak Pemain Dalam Liga Kita Yang Masih Di Takuk Lama

Pemain kena curi, ubi kena rembat dan sebagainya. Antara istilah yang sering kita dengar. Untuk sesetengah penyokong pula, mereka tidak akan menuding kesalahan itu kepada kelab yang memancing pemain ataupun pemain itu sendiri.

Ini kerana, kelonggaran dalam klausa kontrak adalah antara sebab utama kenapa hal ini berlaku.

Anda masih ingat perebutan di antara Felda United dan Kedah untuk Rizal Ghazali? Pemain ini mengakui dia masih mahu kekal dengan Kedah tetapi kontrak beliau tamat pada November 2016.

Rizal masih belum mendapat tawaran kontrak baru dan mendapat tawaran yang baik dari Felda United sebelum final Piala Malaysia 2016 yang berlangsung pada Oktober.

Keratan Berita Harian

Selepas itu pengurusan KFA menyatakan mereka mahukan pemain ini cuma urusan itu dilengahkan.

Ejen bebas

Menurut peraturan FMLLP, pemain akan menjadi ejen bebas dalam 2 bulan terakhir kontrak mereka. Dalam erti kata lain, pada tempoh ini, kelab sudah tiada hak ke atas pemain walaupun kontrak itu masih ada.

Masalahnya, kita dimomokkan dengan sentimen, ‘dia masih ada kontrak dengan kami.’ Baca balik regulasi ejen bebas. Jika di Eropah, sesuatu kelab itu sudah tiada hak ke atas pemain pada baki 6 bulan terakhir kontrak mereka.

Itu yang berlaku kepada John Terry dahulu, ketika Mouriho berkata,

“Saya masih mahukan dia, dan berharap dia memilih untuk kekal di sini.”

Mourinho dan Chelsea ketika itu tiada hak untuk mengawal kontrak John Terry dan mengiktiraf pemain ini masih lagi pemain mereka yang berkontrak.

Perkara yang sama dilakukan Mourinho ketika ditanya, apa pandangan beliau apabila Ibrahimovic dikaitkan dengan kelab dari Amerika Syarikat.

Beliau tidak boleh menjawab, pemain ini masih ada kontrak dengan kami dan dia adalah hak kami. Tidak! Dalam baki 6 bulan terakhir ataupun 2 bulan di negara kita, pemain akan berkuasa ke atas masa depan mereka.

Jadi, kalau rasa masih nak pakai pemain itu untuk musim hadapan, berikan kontrak baru awal-awal.

Kenapa?

Undang-undang Bosman ini wujud dahulu untuk memastikan pemain tidak panik hilang kerja selepas musim berakhir. Mereka sudah boleh mencari kelab baru sebelum kontrak mereka berakhir.

Sebab itu ia dipanggil free agent ataupun ejen bebas. Di mana pemain biasanya diwakili ejen akan mencari kelab baru mereka sendiri. Jika mereka mahu kekal, mereka akan berunding kontrak baru.

Tempoh Kontrak

Baiklah, purata kontrak di negara kita diberikan kepada pemain untuk semusim sahaja ataupun banyak yang dapat hanya 11 bulan dan bulan Disember bulan cuti dan tak perlu dibayar gaji.

Kenapa selalu beri semusim? Sebab mereka takut pemain ini tidak mampu beraksi cemerlang dalam 2 atau 3 musim sedangkan gaji dah besar.

Apabila perkara ini berlaku, anda tahun yang ada beberapa pengurusan menandatangani pemain atas sebab prestasi pemain dalam satu masa tertentu tanpa ada satu graf yang memerhatikan perkembangan pemain.

Mereka tidak ada forecast sama ada mereka akan meningkat dalam masa 2 atau 3 tahun lagi ataupun dijangka akan menurun.

Alasan tidak mahu mengambil risiko adalah topik popular. Sebab itu pemain-pemain yang sudah ada nama di liga Super terus ditawarkan dengan kontrak bernilai puluhan ribu ringgit.

Kata kuncinya, gaji besar dan takut tak capai KPI. Kenapa berikan gaji terlalu besar? Sebab panik takut tak dapat pemain tersebut. Sedangkan tak semua pemain bintang itu sesuai dengan permainan pasukan. Ah! Lupa yang setiap musim adalah pasukan baru.

Jelas sekai ianya pelan jangka pendek. Jika mereka mereka masih boleh bermain kita tawarkan kontrak baru. Berbeza dengan model pengurusan luar negara.

Antara penyelesaian kontrak jangka panjang

Pemberian kontrak panjang ini menjadi masalah di negara kita kerana pengurusan membelanjakan jumlah gaji yang terlalu besar untuk seseorang pemain tanpa menggunakan data sokongan.

Pemain pula meminta gaji besar kerana ia adalah jangka pendek. Rasanya, jika pemain diberikan kontrak untuk 3 tahun dengan gaji bulanan lebih rendah, mereka akan menerima kerana kontrak itu panjang.

Beberapa mekanisme di Eropah boleh diguna pakai. Kini pasukan di Eropah akan memberikan nilai gaji berdasarkan kadar gaji tahun pertama, kedua, ketiga dan kemudian bonus kesetiaan jika mereka berjaya kekal dalam masa 3 tahun. Itu sebagai contoh.

Jadi, kita ambil contoh, Ahmad adalah pemain berusia 19 tahun dan dia dipromosi ke pasukan utama.

Pada tahun pertama dalam kelab Ahmad akan menerima gaji RM10,000. Tahun kedua, jika dia mencapai satu tahap tertentu, misalnya menjadi pemenang kasut emas ataupun mewakili skuad kebangsaan, gaji dia akan meningkat lebih tinggi, mungkin dia akan menerima RM25,000 hanya dengan kejayaan mewakili skuad senior dalam kejohanan major.

Seterusnya, jika Ahmad gagal mencapai angka itu, beliau tetap merasai kenaikan kepada RM15,000. Pada tahun ketiga, Ahmad akan merasai kenaikan 50-70% daripada gaji tahun kedua dengan syarat dia mencapai beberapa pencapaian lagi. Saya ambil contoh, Ahmad membantu pasukan juara piala, Ahmad menjadi pemain utama pasukan.

Pada akhir tahun ketiga, Ahmad akan menerima bonus kesetiaan kerana dia kekal di sana.

Jadi, dengan perancangan kontrak sebegini. Ia bukan sahaja memberikan kelebihan kepada kelab, malah pemain tahu hala tuju dia dalam masa 3 tahun dan apa pencapaian dia perlu buat untuk dapat gaji lebih.

Jika dia berhijrah ke kelab lain, dalam tempoh kontrak masih ada, pasukan berhak ke atas klausa perlepasan ataupun menjual pemain.

Jika Ahmad daripada program akademi ataupun bakat muda dibangunkan oleh pasukan, masukkan klausa pembangunan. Dalam mana-mana perpindahan pemain, walaupun percuma, tetap akan ada bayaran ejen ataupun orang tengah.

Sekurang-kurangnya kelab ada hak ke atas pemain itu sehingga tempoh tertentu, atau di Eropah ada yang sampai pemain bersara. Di Malaysia, dapat 10%-20% daripada perpindahan, dapat RM5,000 pun jadilah.

Ini kerana di Malaysia, mungkin sukar nak buat perniagaan pemain berjuta ringgit. Masukkanlah klausa tertentu yang munasabah.

Jadi, pemain akan dapat ganjaran di atas apa yang dia layak dapat. Kalau dia memanjang duduk di bangku simpanan, dia akan merasai kenaikan minimum sahajalah.

Bayaran terlalu tinggi (overpaid)

Masih banyak pasukan di negara kita memberikan gaji membabi  buta kepada pemain hanya kerana mereka bintang dalam Liga Super. Selepas itu panik kerana, pemain ini bergaji RM80,000 sebulan, bintang liga super tetapi gagal menjaringkan 10 gol dalam semusim.

Apa yang anda harapkan daripada pemain berusia 35 tahun sebagai contoh untuk menjaringkan banyak gol? Apa yang dilakukan Alex Ferguson apabila menadantangani Michael Owen yang memiliki rekod kecederaan yang teruk.

Michael Owen menerima penurunan gaji sangat besar dari apa yang dia dapat di Newcastle sekitar £110,000 seminggu. Ingat! Masa tu dia beraksi cemerlang dengan Newcastle.

Owen menerima gaji pokok  £25,000 seminggu tetapi diselitkan dengan performance related clause ataupun klausa berkaitan persembahan. Dia akan menerima bonus untuk setiap penampilan di dalam padang dan kemudian bonus satu gol dikatakan bernilai  £10,000.

Jadi, jika Owen bermain dalam 3 perlawanan seminggu serta menjaringkan gol, beliau boleh mendapat sekitar  £110,000. Gaji yang sama dia dapat di Newcastle.

Seterusnya, Manchester City pernah menawarkan bayaran atas penampilan kepada Owen Hargreaves. Banyak lagi kluasa bonus persembahan diguna pakai di Eropah.

Manakala di negara kita panik mahu memberikan pemain berpengalaman di liga Super ini dengan gaji besar kerana takut dia menolak kontrak.

Dalam pengurusan bola sepak anda harus berbelanja atas keperluan dan kemampuan.

Lepas beramai ramai, masuk beramai-ramai

Seterusnya, satu budaya dalam liga kita, sesebuah pasukan akan melepaskan sehingga 10 pemain dan mendapatkan 10 pemain baru.

Bila masa pula mahu membina DNA dan identiti taktikal bola sepak dalam padang? Projek seperti ini adalah jangka pendek dan ia memang untuk memenangi piala dalam musim tersebut.

Pasukan yang stabil tidak akan melepaskan pemain sehingga 7 orang dalam semusim. Jika itu berlaku ia akan memberikan impak kepada pembentukan pasukan.

Kemudian pergi ke sidang media menyebut:

“Sasaran kami 1 piala musim ini.”

Pada separuh musim 1 piala sudah pergi ke tangan orang lain, di dalam liga mereka di tangga ke 10. Buat pengumuman sasaran baru mahu jadi 5 teratas. Pada September tukar sasaran keapda mahu kekal liga super.

Tak salah mensasarkan piala, tetapi perancangan jangka panjang ini akan membuatkan sesebuah pasukan itu ada daya survival dan ekstensif.

Kenapa perlu ada budaya pemain lepas beramai ramai dalam semusim? Perkara ini berlaku kerana tiada perancangan dalam pemberian kontrak.

Misalnya, 2 pemain yang sama dalam satu posisi, perlu diberikan kontrak yang akan tamat pada tempoh berbeza. Jika seorang pergi, seorang lagi masih ada untuk mengisi kekosongan itu.

Analisis squad depth yang lebih teliti dengan mengkaji kontrak pemain untuk bahagian dan jenis baka (breed) yang sama.

Rumusannya

Banyak mekanisme boleh digunakan untuk memastikan kontrak pemain tidak membebankan pasukan. Pada masa yang sama, pemain juga ada hak untuk memilih pasukan mereka dalam fasa akhir kontrak mereka.

Tapi semua yang saya senaraikan di atas ini kadangkala hanya untuk menjadi cadangan dan pengetahuan am sahaja.

Secara praktikalnya di Malaysia, memang banyak pengurusan yang menjadikan projek bola sepak ini sebagai projek untuk semusim sahaja. Musim baru nanti kita fikir.

Sepatutnya penilaian ke atas kontrak pemain adalah berdasarkan kaedah lebih sistematik termasuk graf prestasi, squad depth, peak pemain dan sudah pastinya budget pasukan. Aspek tambahan adalah seperti nilai komersil pemain.

Nota editor: Ini hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili suara organisasi SemuanyaBOLA.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN