Kelmarin, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengumumkan kerjasama dengan sebuah syarikat swasta iaitu MYINSPIRATION SDN BHD bagi memacukan pasukan bolasepak negeri kearah sebuah pasukan bolasepak yang lebih professional dan terancang.
Menurut kenyataan rasmi di laman facebook Kelantan FA, Kerjasama di antara dua entiti ini akan bergabung di bawah satu syarikat yang dikenali sebagai KELANTAN RED WARRIORS SDN BHD (KRW).
Objektif utama penubuhan syarikat ini adalah bagi menyediakan pasukan bolasepak Kelantan ke arah sebuah pasukan professional dan berdaya saing bagi memacu kemajuan bolasepak Kelantan secara jangka panjang selain menyediakan kewangan yang lebih mampan dan teguh.
Presiden KAFA, Hajjah Bibi Ramjani Ilias Khan menyatakan,
“Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh Ahli-Ahli Exco Persatuan dengan satu hasrat untuk membawa pasukan negeri Kelantan kearah pasukan berprestasi tinggi dan professional dalam jangka masa panjang”.
“Kami telah lama berhasrat untuk mendapat rakan kongsi yang mempunyai hasrat yang sama iaitu bagi menggerakkan pasukan ke arah lebih teratur dan strategik lantas membawa Kelantan kembali ke Liga Super dan menjadi pencabar kepada pasukan lain. Hanya dengan melibatkan pihak swasta sahaja pasukan negeri dilihat mampu bergerak lebih tersusun dan lebih maju,” kata Bibi Ramjani.
Alhamdulillah! Sebelum match #SUFCvKEL, Kelantan Red Warriors Sdn Bhd secara rasminya 'diperkenalkan'. Krw Sdn Bhd bakal menjadi tunjang baharu #Trw2019 dalam pengurusan. Semoga tiada lagi masalah gaji, hutang & lebih professional selepas ini. Gomo Kelate Gomo! pic.twitter.com/fBRmUotW61
— 𝔹𝕖𝕣𝕚𝕥𝕒 𝔹𝕠𝕝𝕒 𝕂𝕖𝕝𝕒𝕟𝕥𝕒𝕟 (@TwtBolaKelate) February 2, 2019
KRW yang akan menguruskan skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia Kelantan mahu memastikan ketiga-tiga pasukan itu bebas daripada sebarang isu terutama pembayaran gaji.
Ketua Pegawai Eksekutif KRW, Fazli Mohammad berkata selain daripada menguruskan soal pembayaran gaji pemain sedia ada mengikut jadual, pihaknya juga sedang dalam proses untuk melangsaikan hutang lama.
“Semua itu akan diambil alih oleh KRW Sdn Bhd. Semua sedia maklum ia bukan jumlah yang sedikit namun ia sudah mula dilangsaikan secara berperingkat.
“Ia (hutang) membabitkan zaman Tan Sri Annuar Musa hingga tahun 2018 namun bagi saya hutang Kelantan tidak begitu serius dan masih boleh diuruskan.
“Saya jadikan JDT sebagai tanda aras kerana mereka buat secara profesional dan paling penting adalah soal gaji. Insya-Allah dalam bulan ini kita dapat selesaikan dan mahu menjadikan pengurusan 100 peratus profesional.
“Saya bekerja… semua orang bekerja dan pastinya gaji itu cukup penting. Kalau kita ada tunggakan gaji bagaimana pemain mahu bermain dengan baik,” katanya dalam Berita Harian.