Pengurus Valencia, Marcelino menyatakan beliau menjadikan Liverpool sebagai inspirasi dan motivasi kebangkitan dalam aksi menentang Arsenal pada separuh akhir ke-2 UEFA Europa League (UEL).
Valencia ketinggalan 3-1 dalam perlawanan pertama. Marcelino tidak berselindung bahawa mereka menjadikan Liverpool sebagai ‘blueprint’ kepada usaha untuk bangkit dalam perlawanan kedua.
Liverpool bangkit daripada ketinggalan 3-0 secara agregat untuk menang 4-0 dalam aksi timbal balik di Anfield.
Marcelino menyaksikan aksi tersebut dan menyatakan beliau telah belajar sesuatu daripadanya.
“Aksi semalam [Liverpool vs Barcelona] menujukkan bahawa dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Ianya pengajaran yang boleh kami pelajari bahawa; jika kami bermain dengan usaha maksimum kami tetap ada peluang untuk ke final.”
“Setiap perlawanan itu berbeza. Kami bukannya mahu menyingkirkan Arsenal kerana Liverpool menyingkirkan Barcelona.”
“Para pemain kami harus yakin untuk melakukan kebangkitan seperti itu.”
“Kami tahu akan kekuatan kami. Kami perlu menyerang. Kami tahu mereka menyerang ruang dengan sangat baik. Daripada itu kami akan cuba menggunakan kesempatan untuk menyerang mereka.”
Valencia kini berada di luar kelompok 4 teratas di La Liga. Mereka ketika ini di tangga ke-5. Mereka juga seperti Arsenal, mahu menggunakan tiket juara UEL untuk mara ke UCL musim hadapan.
Valencia akan beraksi menentang Arsenal dalam separuh akhir kedua Liga Europa di Mestalla pada awal pagi esok waktu Malaysia.