Pengurus Skuad Bola Sepak Wanita Thailand Salahkan Malaysia Atas Kegagalan Menang Emas

Sama ada sekadar mencari kambing hitam atau tidak, pengurus skuad bola sepak wanita Thailand, Nualphan Lamsam tetap menyalahkan tuan rumah Sukan SEA KL2017, Malaysia atas kegagalan pasukannya mempertahankan pingat emas.

Thailand sekadar memenangi pingat perak. Vietnam pula muncul pemenang pingat emas.

Menurut laporan Bangkok Post, Nualphan menuduh Malaysia bersikap ‘tidak adil’ selain turut meluahkan rasa kecewa kepada prestasi Malaysia sebagai hos Sukan SEA edisi ke-29.

Mengapa Thailand kecewa

Isu bermula apabila permohonan Thailand untuk menukar jadual perlawanan terakhir mereka (menentang Filipina) yang dijadualkan pada pukul 4 petang pada 24 Ogos 2017, ditolak oleh penganjur.

“Kami memohon supaya waktu perlawanan diubah [supaya tiada unsur sabotaj]. Ini kerana Thailand dan Vietnam kedua-duanya terikat mata dan pesaing untuk pingat emas.”

Sebelum perlawanan terakhir mereka menentang Filipina, anak buah Nualphan dan pesaing terdekat mereka, Vietnam kedua-duanya terikat mata selepas menang 2 perlawanan dan seri sekali.

Prestasi Thailand sebelum perlawanan terakhir (vs Filipina)
Thailand 3-2 Myanmar
Thailand 6-0 Malaysia
Thailand 1-1 Vietnam

Prestasi Thailand sebelum perlawanan terakhir (vs Malaysia)
Vietnam 3-0 Filipina
Vietnam 3-1 Myanmar
Vietnam 1-1 Thailand

Ini membuatkan keputusan perlawanan terakhir Thailand (vs Filipna) dan Vietnam (vs Malaysia) pada 24 Ogos 2017 lepas menjadi hari penentu pingat emas bola sepak wanita. Kedua-dua pasukan perlu menang perlawanan terakhir.

Thailand dijadualkan bermain dahulu pada pukul 4 petang. Mereka menang 3-1 ke atas Filipina.

Kredit: AFC

Dengan 13 gol dan bolos 4 gol, Vietnam perlu menang dengan jurang lebih 4 gol ketika menentang Malaysia pada pukul 8.45 malam jika mahu menang pingat emas.

Ketika perlawanan terakhir Vietnam menentang Malaysia, Vietnam menang 6-0. Ini sekaligus menobatkan Vietnam sebagai juara kumpulan dengan kelebihan perbezaan gol – sekaligus menjadikan mereka pemenang pingat emas.

Kredit: AFC

Skuad bola sepak wanita Thailand yang turut menyaksikan perlawanan terakhir Vietnam di Stadium UiTM melihat depan mata mereka sendiri bagaimana pingat emas mereka ‘diragut’ oleh Vietnam.

“Kami kecewa dengan cara pertandingan dianjurkan,” luah Nualphan kepada media. “Kami mohon pindaan jadual ini sebanyak 2 kali. Penganjur hanya memberi maklum balas ketika separuh masa kedua perlawanan terakhir kami – sudah tentulah ia sia-sia.”

Dakwa pengadil banyak buat silap

Nualphan turut mengadu pengadil pertandingan banyak membuat kesilapan.

“Jika ada rakaman video, anda boleh ulang tayang perlawanan kami dan lihat sendiri apa yang berlaku.”

Tidak cukup dengan itu, Nualphan turut memberi bayangan kononnya ada konspirasi daripada penganjur untuk menghalang Thailand daripada menang pingat emas.

“Saya akui Vietnam pasukan yang kuat.”

“Tetapi saya cuma nak tahu kenapa Malaysia mainkan pemain-pemain simpanan mereka semasa menentang Vietnam dalam perlawanan terakhir? Ia bukan kesebelasan sama ketika mereka menentang kami pada 20 Ogos lepas.”

Nualphan turut mendedahkan presiden Persatuan Bola Sepak Thailand sudah menasihatkannya untuk menarik diri awal-awal dari kejohanan Sukan SEA KL2017 kerana takut ada cubaan seperti ini.

“Presiden kami, Somyot Poompunmuang awal-awal lagi sudah menasihatkan kami untuk menarik diri dari pertandingan ini. Tetapi kami tak mahu atas semangat Sukan SEA.”

Bola sepak wanita Malaysia ketinggalan

Sementara itu, ketua jurulatih skuad bola sepak wanita Malaysia, Mohd Asyraaf Abdullah berkata sesuatu perlu dilakukan untuk mengelak anak buahnya dan Malaysia secara umumnya, daripada ketinggalan dalam arena bola sepak wanita Asia Tenggara.

Kredit: NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Bercakap selepas kekalahan 0-5 Malaysia kepada Myanmar, Asyraf memberitahu Berita Harian:

“Kita sendiri saksikan betapa pemain Myanmar memiliki kemahiran teknikal individu yang begitu baik dan beraksi seolah-olah pemain bola sepak lelaki selain memiliki keyakinan memegang bola dan melakukan percubaan.

“Tetapi, saya tidak mahu menyalahkan pemain saya kerana mereka inilah pemain yang saya ada. Mereka berusaha sedaya upaya menunjukkan komitmen baik dan paling penting, pasukan ini adalah pasukan muda dan sedang dalam pembinaan.”

Sumber:

1. TOR CHITTINAND (2017). ‘Disappointed’ Nualphan blasts ‘unfair’ tactics as women’s squad settle for silver. Bangkok Post. http://m.bangkokpost.com/news/sports/1313111/disappointed-nualphan-blasts-unfair-tactics-as-womens-squad-settle-for-silver?refer=http%3A%2F%2Fm.facebook.com%2F

2. Syafiq Aznan (2017). `Wake up call’ bola sepak wanita Malaysia: Asyraaf. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2017/08/313891/wake-call-bola-sepak-wanita-malaysia-asyraaf

Leave a Reply