Quantcast

BERITA

Pengurus Celtic Kecewa Oliver Ntcham Label Liga Scotland ‘Standard Kampung’

Beberapa hari lalu, pemain Celtic, Oliver Ntcham dengan terbuka mengkritik mutu Liga Scotland yang dianggap beliau terlalu rendah untuk pemain seperti beliau.

Ntcham juga berpendapat, kualiti liga yang rendah menyebabkan pemain sukar membangun kerana berhadapan dengan lawan yang lemah.

Ntcham musim lalu gagal memeterai perjanjian ke Porto kerana Celtic tidak mahu menjualnya. Kali ini beliau dikaitkan dengan Lyon dan Marseille.

Ntcham berkata: “Celtic sudah banyak berjasa kepada saya. Namun saya merasakan [keluar dari sini] itu adalah untuk kebaikan perkembangan karier saya.”

“Kita boleh bermain sebanyak mana perlawanan kita mahu. Namun dengan rasa penuh hormat ke atas rakan sepasukan, jika kualiti pasukan lawan kamu tidak bagus, kamu tidak akan membangun.”

“Ya saya kecewa, musim lalu saya gagal ke Porto. Namun sekarang ini, minat daripada Marseille benar-benar menarik perhatian saya. Marseille kelab yang besar dengan penyokong yang ramai. Jika saya pergi ke Marseille, saya akan berkembang.”

Pengurus Celtic, Neil Lennon megakui beliau sudah maklum akan komen Ntcham – terutama sekali berkaitan isu pemain gagal membangun dengan baik kerana kualiti liga Scotland yang rendah dan ‘standard kampung’.

Celtic ketika ini masih berusaha untuk meyakinkan Ntcham kekal. Dan Lennon pastinya pening dalam mengendalikan perkara ini.

Lennon berkata: “Kami akan bincangkan perkara ini selepas Ntcham kembali,” tegas Lennon dalam sidang media kelayakan UCL di Sarajevo.

“Jujur saya katakan, rata-rata kami semua, para pemain, pengurusan, orang di luar sana tidak puas hati dengan komen beliau itu.”

Lennon sedar komen Ntcham itu akan membuatkan kelab berada dalam kesukaran untuk mengawal pemain itu dalam bursa perpindahan. Ini kerana pasukan seperti Marseille pastinya tidak akan menawarkan harga tinggi untuk pemain yang terang-terang mahu menyertai kelab itu dan juga tidak gembira di kelab semasa.

“Saya akan bercakap dengan Oliver secara tertutup perkara ini. Kami mendapati komen ini kurang tepat pada masa yang tidak kena.”

“Beliau masih ada masa depan di Celtic. Beliau pemain yang masih di bawah kontrak. Tetapi saya akan bercakap dengan beliau soal ‘mindset’ dan juga kelakuan beliau ke atas kelab ini. Buat masa ini, keadaan nampak tidak bagus.”

Ini bukan pertama kali Ntcham buat hal untuk mendesak perpindahan. Pada 2012, beliau mendesak Le Havre melepaskannya ke Man. City dengan mengancam tidak akan melanjutkan kontrak.

City hanya membayar €1 juta. Le Havre kecewa kerana sikap Ntcham membuatkan nilai perpindahan beliau jatuh.

Celtic kali ini berhadapan dengan isu untuk mengekalkan 2 pemain penting mereka iaitu Oliver Ntcham dan juga Kieran Tierney.