Terdahulu ketika 2016, saya pernah menyertai kru media Infomedia Network ke Kemaman untuk menjadi pengulas kepada siaran langsung perlawanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR).
Mungkin ramai yang tidak sedar dan sibuk dengan aksi separuh akhir Piala FA Malaysia semalam, tetapi pada masa yang sama sebenarnya ada perlawanan akhir LBR bagi musim ini di Kota Bharu, Kelantan.
Tanpa disangka, saya dipanggil untuk mengulas bagi perlawanan akhir tersebut yang dilangsungkan secara timbal balik antara pasukan Gua Musang dan Serian dari Sarawak semalam!
Pulangnya saya dari Kelantan ke Kuala Lumpur telah meningatkan saya kepada persoalan yang sering saya dapat selepas melakukan penampilan pertama sebagai pengulas pada tahun lalu di Kemaman:
“Macam mana nak jadi pengulas?”
Jadi rasanya elok saya ceritakan sikit dari sudut pandang saya mengenai kerjaya pengulas ini kepada anda semua.
Tak semua terus jadi pengulas
Ada yang tanya, adakah kita perlukan kelulusan tertentu untuk menjadi pengulas bola sepak?
Sejujurnya bagi saya, menjadi pengulas ini merupakan bakat semula jadi dalam diri seseorang.
Ia masih boleh dipelajari bagi mereka yang tidak punya bakat, tetapi jika anda jumpa rakan-rakan di sekeliling anda yang punya bakat itu secara semula jadi, anda pasti akan dapat rasa perbezaannya.
Kebanyakkan pengulas bola sepak di dunia ini yang saya ikut bukanlah mempunyai kelulusan dalam bidang media secara formal atau lebih khusus dalam bidang pengulasan.
Salah seorang pengulas yang saya gemar adalah Derek Rae iaitu pengulas bagi BT Sport untuk aksi Scottish Premiership. Karier beliau bermula sebagai pengulas pada usia 15 tahun selepas merakam ulasan beliau ketika menonton perlawanan di stadium.
Kemudian beliau menghantar rakaman itu kepada syarikat penyiaran dan beliau memulakan kariernya sebagai pengulas bola sepak di radio.
Seorang lagi pengulas adalah Allahyarham Hasbullah Awang – pengulas kesayangan kita semua.
Bagi yang tidak tahu, beliau memulakan karier sebagai pembantu siaran di RTM Kuantan dan kemudiannya melakukan pengisian radio berbentuk keagamaan.
Kemudiannyan, baharulah beliau menjadi pengulas sukan. Selepas itu kata orang, semuanya adalah sejarah.
Jadi berdasarkan permulaan karier 2 pengulas ini, saya boleh katakan yang ia semuanya tidaklah secara terus (direct).
Kajian perlu ada
Saya belum pernah menjadi pengulas untuk siaran televsiyen tetapi apa yang saya boleh katakan yang ialah menjadi pengulas di kaca televisyen pastinya mempunyai sedikit kelebihan dengan pelbagai peralatan yang membantu anda ketika mengulas.
Akan tetapi, ada sahaja perkara yang perlu anda lakukan secara sendiri.
Sebagai contoh adalah kajian mengenai perlawanan. Info mengenai perlawanan dan pasukan yang bermain perlulah diperoleh sebanyak boleh.
Apa sejarah pasukan? Siapakah pemain utama setiap pasukan? Apa akan jadi jika pasukan tuan rumah tewas? Adakah mereka akan tersingikir dalam persaingan merebut kejuaraan dan seabgainya.
Kita boleh lihat kepada kekayaan informasi yang dimiliki Allahyarham Hasbullah, hinggakan perkerjaan bapa Khyrill Muhymeen sebagai guru silat juga disebut beliau ketika siaran langsung!
Info-info ini penting sebagai penghias kepada ulasan ketika perlawanan. Ia juga menjadikan ulasan anda tidak bosan dan terhad kepada menyebut nama pemain dan menggambarkan keadaan ketika perlawanan sahaja.
Apa yang digunakan?
Ketika mengulas, anda perlu pastikan diri anda bersedia secara fizikal dan mental.
Hal ini kerana, kita bukanlah sahaja duduk mengulas sahaja namun perlu berdepan dengan pelbagai kemungkinan ketika mengulas.
Contohnya kertas yang tertera info yang anda sudah catat diterbangkan oleh kipas disebelah anda. Ketika itu, anda perlu berdepan dengan cabaran mengekalkan ketenangan ketika mengulas sambil mencari-cari kertas yang diterbangkan angin.
Saya bukan bergurau, perkara ini sendiri terjadi kepada saya ketika siaran langsung. Mujur saya berjaya hadapinya dengan baik!
Lazimnya ketika mengulas, pengulas bakal dibekalkan dengan mikrofon untuk bercakap dengan sebuah skrin kecil sebagai monitor untuk mudahkan pengulas melihat pemain dengan jarak yang lebih dekat.
Jika pengulas televsiyen pula, mereka akan dibekalkan dengan 2,3 skrin monitor lagi untuk membantu mereka. Untuk pengulas amatur seperti saya, cukuplah satu sahaja.
Selain itu, buku nota yang tertera informasi perlawanan dan hasil kajian sebelum perlawanan dan kertas yang tertera senarai pemain yang beraksi padap perlawanan tersebut (start list) juga perlu ada bersama anda.
Paling penting adalah anda perlu ada sebotol dua air kosong di sebelah anda. Percayalah, mengulas 90 minit perlawanan ini memenatkan terutamanya ketika mengulas seorang diri!
Kesimpulan
Bagi saya, ramai lagi individu yang berada di luar sana yang berpotensi untuk menjadi pengulas yang berkaliber dan menjadi pengganti kepada generasi pengulas yang sedia ada ketika ini.
Jika anda minat dengan kerjaya ini, pergi dapatkan peluang. Tak semestinya anda perlu bermula di stesen televisyen dan mengulas perlawanan Liga Malaysia, mengulas perlawanan yang berskala lebih kecil seperti liga sosial atau LBR pun memadai – asalkan dapat pengalaman!
Jika ada ujibakat terbuka, pergi ambil peluang itu. Kita tak tahu di mana rezeki kita semua.