Pengendali Selangor, Nidzam Jamil memasang cita-cita untuk meletakkan kelab kendaliannya itu sebaris pasukan hebat seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Terengganu pada masa hadapan.
Selangor boleh dianggap berada di landasan terbaik sejak beberapa musim ini menerusi beberapa perubahan dilakar mereka membabitkan falsafah permainan, pengurusan, serta barisan pemain.
Malah musim lalu menyaksikan mereka muncul selaku naib juara Liga Super 2023 dan berjaya melayakkan diri selaku wakil Malaysia ke pentas AFC Champions League 2 (ACL2).
Hadir dengan persediaan lebih baik pada awal musim menerusi rombakan kecil dalam kalangan pemain, termasuk menandatangani tonggak import berprofil tinggi.
Setakat ini, prestasi semasa The Red Giants boleh dianggap cukup baik dengan mereka masih belum tewas di laman sendiri iaitu Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Malah, mereka juga masih lagi memiliki peluang untuk cuba melayakkan diri ke pentas akhir Piala FA musim 2024/2025 walaupun baru-baru ini merekodkan kekalahan di tangan Terengganu pada aksi separuh akhir.
Menerusi kemenangan besar 4-1 mengatasi Penang baru-baru ini di pentas Liga Super, Nidzam menyasarkan Selangor untuk berada pada satu tahap lebih tinggi seperti dibuat oleh JDT serta Terengganu.
Malah Nidzam meletakkan kepercayaan tinggi kepada Selangor yang dianggap mampu untuk menjadi kelab lebih baik pada masa hadapan menerusi prestasi semasa ditampilkan.
“Kita rasa kita ada peluang untuk itu (untuk berjaya), untuk tingkatkan prestasi lebih cemerlang. Sudah pasti kita nak ada dekat tempat yang dikatakan ‘elite’.
“Contoh JDT dan Terengganu. Kita nak ada dekat tempat itu dan ia juga cita-cita kita. Kita nak ada dekat saingan kelab AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).
“Orang selalu cakap selama ini sudah bersedia atau tidak untuk AFC. Itu persepsi dalam bola sepak. Hari pertama saya dilantik, banyak juga persepsi.
“Tapi saya tak nak dikurung dengan persepsi-persepsi begini kerana saya fikir, buat masa kini, saya cuba mendapatkan keputusan positif, bermain dengan baik dan Kita cuba positif secara berterusan.
“Dari segi corak permainan sudah pasti ada beberapa aspek yang kita nak naik taraf. Sebab itu, kita nak main di liga yang lebih baik (saingan AFC). Tetapi, sebenarnya sangat subjektif (corak permainan),” katanya menerusi laporan dikeluarkan Harian Metro.
Pandangan anda, adakah Selangor mampu mencapai tahap yang diingini oleh Nidzam pada masa akan datang?