Pengendali Jeonbuk Hyundai iaitu Kim Do-heon menyifatkan para pemain Selangor mengambil sikap membuang masa di atas permainan ketika aksi membabitkan kedua pasukan itu semalam.
Terdahulu, Jeonbuk Hyundai terpaksa akur akan kekalahan sulung mereka di pentas AFC Champions League Two (ACL 2) semalam di tangan Selangor menerusi keputusan 1-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Mengambil sikap untuk menurunkan skuad kedua tanpa sebarang import, jelas ia mengundang padah buat pasukan tersebut apabila dikejutkan oleh wakil dari Malaysia itu.
Dua gol Selangor berjaya terhasil menerusi ledakan bintang muda Harimau Malaya iaitu Harith Haiqal serta penyerang import dari Jordan, Ali Olwan di separuh masa pertama.
Sementara Jeonbuk Hyundai yang mewakili Korea Selatan pula cuma memperoleh gol sagu hati menerusi Kwon Chang-hoon pada minit ke-40 selepas pelbagai asakan dibuat.
Seusai perlawanan, pengendali Jeonbuk tampak kurang berpuas hati akan pendekatan dibuat oleh Selangor dengan menganggap pemain kelab itu gemar membuang masa.
Malah, Kim juga menganggap sikap sedemikian bakal memberi cerminan buruk buat bola sepak di Malaysia untuk terus bertambah maju pada masa hadapan.
Jeonbuk Hyundai manager Kim Do-heon, following their poor performance and loss against Selangor yesterday, stated, "I don’t believe Selangor’s players' time-wasting tactics were appropriate. For Malaysian football to improve, such behavior needs to be eliminated."
— Korea Football News (@KORFootballNews) October 24, 2024
“Saya tak rasa taktik pemain Selangor yang suka melengahkan masa pada perlawanan tadi (semalam) adalah suatu perkara yang wajar untuk dilakukan.
“Untuk bola sepak Malaysia bergerak ke hadapan, tingkah laku seperti ini perlu dihapuskan,” ulas beliau menerusi perkongsian dibuat Korea Football News di media sosial X.
Rekod sebelum itu menyaksikan Kim pernah menyarung jersi Negeri Sembilan pada tahun 2018, dan kembali ke Malaysia kini selaku jurulatih buat Jeonbuk.
Walaupun tampil tanpa pemain utama, Jeonbuk sebenarnya tampil lebih dominan di atas padang menerusi penguasaan bola serta mencipta pelbagai peluang berbahaya.
Malah, penyerang muda mereka iaitu Jin Tae-ho tampil beberapa kali untuk mengkucar kacirkan pertahanan Selangor menerusi kelincahan beliau di atas padang.
Pastinya Kim mempunyai perancangan lebih teliti selepas ini untuk aksi timbal balik yang menyaksikan giliran Jeonbuk pula tampil selaku tuan rumah pada perlawanan tersebut.