Pengendali Filipina iaitu Michael Weiss jelas sangat optimis dengan aksi seterusnya bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas pasukannya bakal menghadapi cabaran Indonesia pada Selasa hadapan.
Terdahulu, Indonesia menerima kekalahan besar mereka di tangan Iraq selepas Sang Garuda ditewaskan pasukan tersebut menerusi keputusan 1-5 di Stadium Internasional Basra.
Satu jaringan Indonesia hanya terhasil menerusi Shayne Pattynama dan selebihnya mereka tidak mampu untuk berbuat apa-apa menentang salah satu pasukan terkuat Asia itu.
Untuk aksi seterusnya, Indonesia bakal bergerak ke Manila, Filipina pula untuk menghadapi aksi kedua mereka bagi Kumpulan F dengan bertemu tuan rumah dalam misi mereka mencari kembali tiga mata penting.
Hadir selaku tuan rumah, Weiss optimis Indonesia bakal menghadapi kesukaran untuk memperoleh kemenangan atas beberapa faktor yang sangat jelas.
Antararanya, pengendali tersebut menjangkakan Indonesia bakal menghadapi isu keletihan kerana jarak perjalanan yang diambil pasukan tersebut untuk ke Filipina sangat jauh.
“Aksi seterusnya berdepan Indonesia, kita mungkin akan mendapat sedikit kelebihan berbanding pasukan pelawat.
“Indonesia perlu bergerak dari Basra, Iraq untuk ke sini dengan ianya pasti sukar buat mereka kerana jarak serta tempoh perjalanan bakal dilalui pasukan tersebut sangat panjang,” kata beliau menerusi CNN Indonesia.
Pada masa sama, pengendali berpengalaman itu juga mengakui Indonesia turut akan menghadapi kesukaran untuk membiasakan diri beraksi di permukaan padang sintetik.
“Pastinya sukar juga buat diri mereka untuk beraksi di sini kerana bakal beraksi di padang sintetik. Kami pula sudah terbiasa dengannya,” tambah Weiss lagi.
Sebelum itu, Filipina juga sebenarnya turut mengalami kekalahan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026, selepas mereka ditewaskan Vietnam menerusi keputusan penuh 0-2.
Dua gol Vietnam ketika itu masing-masing diledak oleh Nguyen Van Toan serta Nguyen Dinh Bac untuk mengesahkan tiga mata penting menjadi milik pasukan tersebut.
“Sepatutnya kami boleh bertahan dengan lebih lama untuk mengelakkan daripada dibolosi pasukan lawan.
“Tapi sayangnya kami bolos dengan satu jaringan tidak sepatutnya berlaku serta para pemain saya tidak bersaing dengan begitu baik untuk merebut bola. Jika diamati, keputusan penuh perlawanan sepatutnya seri.
“Walaupun kami tewas, tapi saya sangat puas hati dengan aksi ditampilkan oleh para pemain, kami sepatutnya boleh keluar daripada padang perlawanan dengan kepala menegak tetapi kami gagal untuk bertahan dengan tekanan lawan lebih konsisten,” ujar beliau akhir sekali.