Lelaki yang melakukan serangan bom ke atas bas Borussia Dortmund pada 2017 yang lalu – telah dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun – pada selasa lalu.
Tertuduh, yang hanya dikenali sebagai Sergej W telah berhadapan dengan 28 sabit kesalahan. Mahkamah Dortmund mengklasifikasikan kes tersebut sebagai cubaan membunuh.
Sergej juga diperintahkan membayar £13,300 kepada Marc Bartra, yang cedera dan trauma kerana serangan itu. Marc Batra dikejarkan ke hospital dan terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang serpihan objek termasuk kaca daripada kulitnya. Bartra berehat sebulan daripada bola sepak selepas insiden itu.
Seorang pegawai polis juga cedera apabila 3 serangan letupan dilancarkan ke atas bas pasukan Borussia Dortmund yang ketika sedang meninggalkan sebuah hotel di bandar Jerman barat.
Bas tersebut bertolak menuju ke stadium untuk menghantar para pemain untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang AS Monaco pada 11 April 2017. Keputusan hakim pada Selasa itu juga menamatkan perbicaraan selama 11 bulan ke atas Sergej. Thomas Tuchel antara yang dipanggil ke kandang saksi.
Pendakwaraya juga berjaya membuktikan Sergej W ada membuat pinjaman daripada bank. Dan ia ada kaitan dengan serangan itu. Ini kerana Sergej telah menggunakan wang itu untuk bertaruh; bahawa saham Borussia Dortmund akan jatuh nilai. Borussia Dortmund merupakan satu-satunya kelab yang tersenarai dalam bursa saham.
Oleh itu Sergej kemudiannya mengebom bas bagi memastikan dia menang pertaruan itu. Sergej juga didapati berniat jahat ke atas orang Islam. Ini apabila dia cuba menyamar sebagai pengganas yang beragama Islam ketika melakukan serangan itu.
Malangnya pendakwaraya gagal untuk meyakinkan hakim agar Sergej dijatuhkan hukuman mati kerana perbuatan terkutuknya itu.
Namun begitu, peguam yang mewakili Sergej pula menyatakan anak guamannya harus dijatuhkan hukuman lebih ringan.
Sergej pada Januari lalu memberikan keterangan bahawa dia hanya meletupkan bas tanpa niat untuk menyerang sesiapa atau mendatangkan kemudaratan kepada manusia.
Peguam Sergej juga menyatakan bahawa anak guamannya sepatutnya hanya dihukum atas pertuduhan meletupkan bom yang dibuat sendiri bukannya mengaitkan Sergej dengan cubaan membunuh.
Hakim menolak alasan itu dan memberitahu, ketika Sergej memasang bom itu, mana mungkin dia mampu mengawal impak bom itu kepada nyawa orang awam.
Alasan peguam itu memang agak pelik – dan ramai penyokong Borussia Dortmund pun menggelengkan kepala mendengarnya. Walaupun ramai penyokong setuju dengan keputusan hakim untuk mengklasifikasikan kes itu sebagai cubaan membunuh; namun begitu, mereka agak kecewa dengan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim.
Mereka kurang berpuas hati ke atas hukuman penjara 14 tahun itu kerana dikatakan terlalu ringan. Lagipun Sergej dengan sengaja berniat cuba memburukkan imej Islam dalam serangan itu. Ia boleh mencetuskan ketegangan kaum terutamanya di Jerman.
Kes itu dianggap berprofil tinggi kerana media membuat liputan meluas ke atasnya. Jadi impaknya adalah lebih besar.
Sergej memiliki kewarganegaraan Jerman dan berusia 29 tahun – berasal dari Rusia – datang ke negara itu 13 tahun yang lalu.
Apa pandangan anda? Adakah hukuman itu terlalu ringan?