Pengarah LaLiga Business School, Jose Moya memuji kesungguhan Malaysian Football League (MFL) yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap profesionalisme bola sepak tempatan meskipun mengakui bakal berdepan tugas yang mencabar.
Beliau berkata, pihaknya bersedia membantu MFL berkongsi kejayaan LaLiga menerusi Program Pemasaran Sukan bagi sama-sama membangunkan bola sepak di negara ini.
Justeru satu kerjasama antara MFL dan Jabatan Pendidikan LaLiga daripada LaLiga Business School sudah termetrai pada 19 November lalu dengan misi utama bagi membangunkan pengajian berkaitan sukan melibatkan golongan profesional daripada MFL, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kelab-kelab Liga Malaysia.
Menurut Moya, meskipun budaya sukan yang dimiliki dalam arena bolasepak tempatan berbeza dengan LaLiga, itu tidak menjadi satu halangan untuk Liga Malaysia bergerak seiring dengan tahap profesionalisme yang telah dimiliki dalam LaLiga termasuklah aspek teoretikal dan asas pengetahuan praktikal.
Justeru, Program Pemasaran Sukan yang dijangka berlangsung pada 27-30 Mac 2020 dilihat akan menjadi satu permulaan baharu untuk meningkatkan kualiti bolasepak negara menerusi bagi melatih bakat dalam sektor industri sukan dengan lebih mendalam.
“Memang pada permulaan kita akan berdepan cabaran untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan dalam sektor industri sukan bolasepak ini sepertimana yang LaLiga sendiri pernah alami pada awalnya.
“Kami juga di LaLiga berdepan banyak masalah daripada pelbagai aspek sebelum ini tetapi saban tahun tahap profesionalisme di LaLiga bertambah baik sehingga menjadi antara salah satu liga terbaik di dunia ketika ini.
“Begitu juga dengan Liga Malaysia, kami berbesar hati untuk berkerjasama dan berkongsi seberapa banyak ilmu pengetahuan yang ada dalam industri ini untuk sama-sama meningkatkan kualiti liga bolasepak di Malaysia”, jelasnya.
Moya turut menambah, penekanan bukan sahaja akan tertumpu kepada aspek pemasaran malah daripada pelbagai program, kaedah dan kursus lain juga di mana ia pastinya akan mengambil sedikit masa untuk semua pihak menerapkan segala ilmu pengetahuan yang akan dikongsi nanti.
“Langkah pertama sudah pastilah kursus pemasaran sukan di mana kita akan fokus kepada aspek profesionalisme bolasepak tempatan ketika ini dan melihat kembali apa yang LaLiga mampu bantu dalam meningkatkan tahap profesionalisme mereka.
“Kami bukan sahaja akan berkongsi, tetapi turut menunjukkan bagaimana cara kami melakukannya supaya perkongsian itu akan menjadi lebih jelas dan kita tidak boleh menjangkakan ia akan berhasil dalam satu tempoh masa singkat.
“Pelbagai program dan kursus lagi perlu dilakukan dan semua itu akan dilakukan satu demi satu antara LaLiga dan Liga Malaysia menerusi MOU yang telah terjalin”, katanya.
Perjanjian kerjasama terbaharu ini Bakal menyaksikan Malaysia mengikut jejak langkah Mexico, Mesir dan Colombia yang sudah bekerjasama dengan LaLiga sekali gus membuktikan komitmen LaLiga bagi menyediakan latihan dan pendidikan sebagai asas profesionalisme dalam sektor ini.