Bolehkah anda membayangkan menonton perlawanan secara langsung tanpa sebarang ulasan perlawanan? Bagaimanakah perasaanya? Selain daripada diulit sepi, anda akan merasa hambar.
Kehambaran itu adalah kerana anda bukan menonton perlawanan dari stadium. Anda tidak dapat rasakan suasana sebenar kejadian. Anda juga mungkin terlepas insiden yang tidak terakam oleh kamera.
Tanggungjawab pengulas adalah untuk memastikan penonton yang menyaksikan perlawanan selain dari stadium, turut sama merasai kehangatan dan bahang yang sama.
Kenali Dunia Pengulas Digital
Anda pasti mengenali Datuk Rahim Razali dan Allahyarham Datuk Hasbullah Awang yang pernah mewarnai profesion ini.
Hari ini kita ada Abu Bakar Atan, Zainal Abidin Rawop, Hafizal Hamad dan Akhbar Sahari. Nama-nama ini cukup dikenali di kalangan pengikut industri bola sepak negara.
Namun tidak ramai peminat sukan bola sepak di negara kita yang biasa dengan pengulasan secara digital atau turut dikenali sebagai “Live Text”
Anda mungkin pernah mengikuti ulasan melalui media sosial seperti twitter dan facebook. Bagi Semuanya BOLA, ini adalah pertama kali ia dilakukan dan disiarkan melalui medium ‘instant article’.
Pengulasan secara digital ialah ulasan bola sepak yang hanya menggunakan ayat dan perkataan untuk memberi gambaran perlawanan kepada pembaca.
Ia menyampaikan bukan sahaja apa yang tersaji di atas padang, malah ia bagaikan lintas langsung dari kaca mata seorang penonton biasa.
Ulasan secara digital bukanlah perkara baharu. Di Britain misalnya, penyokong mereka mengikuti “Live Text” walaupun mereka sedang menyaksikan siaran secara langsung di televisyen.
Mereka turut mengikuti ulasan digital ketika berada di stadium! Ini untuk memastikan mereka tidak terlepas butiran terperinci ketika perlawanan.
Antara ulasan digital yang sering menjadi ikutan di Britain ialah “Live Text” oleh The Guardian, Telegraph, ESPN dan juga Mirror Football.
Persiapan Pengulas Digital Sebelum Hari Perlawanan
Tidak banyak perbezaan dari segi persiapan jika ulasan secara langsung di televisyen diambil sebagai perbandingan.
Pertama, anda perlu melakukan kajian terhadap kedua-dua pasukan yang bertanding. Info-info menarik, statistik perlawanan dan rekod lampau akan membantu.
Seelok-eloknya, semua maklumat tersebut sudah melekat di dalam minda pengulas digital. Ini kerana, anda tidak punyai masa untuk membelek data ketika berada di stadium.
Memandangkan ulasan yang diberikan adalah dari minit ke minit, data dan info tersebut harus tersedia untuk dimasukkan ke perisian yang digunakan untuk dibaca oleh pembaca.
Perkara kedua yang perlu dititikberatkan oleh anda ialah tempat duduk di stadium. Anda perlu mendapatkan posisi terbaik agar penglihatan anda tidak terhalang ketika perlawanan berlangsung.
Pengulas di televisyen tidak akan mempunyai isu berkaitan hal ini. Ini kerana mereka telah disediakan tempat khas bersama bantuan rakaman untuk membantu mereka mendapat pandangan yang jelas.
Bagi pengulas digital, anda akan ditempatkan di tempat duduk media. Posisi yang betul akan memastikan anda mendapat gambaran perlawanan yang jelas untuk anda sajikan kepada penonton.
Perkara ketiga yang anda perlukan adalah peralatan. Pastikan anda membawa komputer riba, pengecas bateri, smartphone untuk mendapatkan data segera (Facebook, Twitter, Instagram).
Anda juga perlu mendapatkan akses wifi daripada pihak stadium atau penganjur. Ini kerana mobil data peribadi anda tidak akan berfungsi ketika bersama 80,000 penonton yang lain di dalam stadium.
Persiapan Pengulas Digital Di Hari Perlawanan
Perkara pertama, anda harus merancang perjalanan. Jarak Stadium Shah Alam ke kediaman penulis adalah lebih kurang 32KM.
Bertolak dari rumah sekitar jam 2:30pm, penulis hanya sampai ke kaunter pendaftaran media pada jam 5:30pm. Bukanlah perkara yang menghairankan jika tahap kemudahan pengangkutan awam di Lembah Klang diambil kira.
Sepak mula perlawanan hanya akan diadakan sekitar jam 9 malam. Ini bermakna anda ada punyai lebihan masa 3 jam. Ambil masa tersebut untuk melakukan temu ramah bersama penyokong. Rakamkan temuramah tersebut.
Tanyakan soalan-soalan mudah seperti: “Siapakah yang akan menang perlawanan malam ini? Mengapa?” atau “Siapakah yang akan menjaringkan gol buat pasukan anda pada malam ini?”
Benar. Anda sememangnya boleh menjangkakan jawapan mereka. Tetapi rakaman anda tadi adalah sebahagian daripada pengisian sebelum sepak mula.
Perkara kedua, setelah anda mendapatkan tempat duduk yang bersesuaian di ruangan media, pastikan segala perisian berfungsi seperti dikehendaki.
Saat ini anda boleh mulai melakukan ‘engagement’ bersama pembaca anda. Untuk perlawanan semalam, penulis hanya memulakan ulasan digital mulai jam 7pm.
Muat naik rakaman yang dirakamkan bersama penyokong tadi ke dalam perisian. Ceritakan suasana stadium melalui pemerhatian anda. Laporkan aktiviti sampingan yang diadakan di sekitar trek.
Bagi sesetengah pihak, anda mungkin bertanggapan ini adalah untuk membunuh masa sehingga wisel sepak mula.
Anda silap. Semua ulasan awal itu penting untuk memastikan pembaca anda mendapat gambaran kehangatan perlawanan yang akan berlangsung.
Perkara ketiga yang perlu anda lakukan ialah ketika perlawanan berlangsung. Pastikan anda memiliki kemahiran menaip yang pantas. Jika tiada, latih mulai sekarang.
Setiap insiden harus dilaporkan secara terperinci. Jaringan, layangan kad, pertukaran pemain, kecederaan atau insiden lain yang difikirkan perlu, wajib dilaporkan.
Anda juga boleh menyelitkan perkara yang berlaku di bangku pemain simpanan, gelagat penyokong di stadium ataupun hadirin VVIP yang menghadiri perlawanan.
Pengalaman Penulis Sebagai Pengulas Digital
Apabila pihak pengurusan Semuanya BOLA memilih saya untuk melaksanakan tugas ini, saya tidak nafikan perasaan teruja yang hadir.
Pada masa yang sama, perasaan gementar turut ada, kerana membayangkan diri akan turut berhadapan dengan personaliti media lain yang lebih berpengalaman.
Tugas saya bermula ketika sesi sidang media sehari sebelum hari perlawanan. Turut kelihatan adalah personaliti media yang lain daripada Astro Arena, Star Online, Berita Harian, FourFourTwo dan juga Football Tribe Malaysia.
Saya merasakan diri sangat kerdil apabila berada bersama-sama individu-individu berpengalaman dalam industri media di Malaysia.
Pada masa yang sama, saya turut berbangga bila ada rakan media bertanyakan sama ada saya mewakili Semuanya BOLA. Tidak ada pelik tentang pertanyaan sedemikian memandangkan ini adalah sidang media pertama saya mewakili syarikat media digital ini. Wajah saya asing bagi mereka.
Ini mungkin pengalaman pertama saya. Tetapi saya harus memuji usaha pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dalam memastikan kelancaran perlawanan akhir.
Mungkin ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki seperti pemberian pass media beberapa hari lebih awal dan bukan diserahkan pada hari perlawanan.
Ini adalah untuk memudahkan pihak media untuk terus melaksanakan tugas mereka pada hari perlawanan tanpa perlu mendaftar kembali.
Bagaimanapun, langkah pihak FMLLP memperuntukkan pass letak kereta khas untuk media wajar dipuji. Ini akan memudahkan tugas rakan media yang datang dengan set peralatan yang banyak.
Bagi rakan media yang lain, ini mungkin satu kebiasaan. 30 minit sebelum sepak mula, kami dihidangkan dengan set nasi tomato bersama ayam masak merah.
Kerana tidak sempat menjamah makanan sebelum itu, makan malam yang disediakan oleh FMLLP ini saya anggap mewah.
Ketika sesi rehat selesai separuh masa pertama, beberapa orang pegawai FMLLP turut datang untuk memastikan pegawai media yang hadir selesa.
Sambungan wifi yang pantas, maklumat perlawanan, info data dan statistik turut disediakan oleh pihak FMLLP untuk membantu media membuat laporan.
Maka ulasan digital sepanjang tempoh 90 minit perlawanan yang dilakukan, saya anggap sebagai berjaya walaupun mengakui masih ada ruang untuk diperbaiki.
Rumusan
Ulasan digital mungkin adalah medium asing dalam bidang pengulasan di Malaysia. Tetapi untuk tampil sebagai antara pelopor bersama Semuanya BOLA, ia adalah satu pencapaian yang membanggakan buat diri secara peribadi.
Mungkinkah apabila liga bola sepak kita semakin maju dan skuad kebangsaan Harimau Malaya kembali mengegar pentas dunia, ulasan secara digital mendapat sambutan hangat di kalangan rakyat Malaysia sebagai medium alternatif pengulasan.
Siapa tahu, satu hari nanti Semuanya BOLA akan menjadi media digital rasmi Piala Dunia 2026 untuk membawa ulasan digital secara “Live Text” membabitkan perlawanan antara Malaysia dan Brazil.
Nota editor: Ulasan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tak mewakili pendapat Semuanya BOLA sebagai satu organisasi.