Tonggak pertahanan Terengganu, Shahrul Nizam antara muka baharu dipanggil oleh Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E, serta dua perlawanan Antarabangsa Tier 1 tidak lama lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Pemain tersebut jelas sedikit takut kerana ini pertama kali beliau bakal mewakili skuad kebangsaan serta berlatih bersama para pemain senior yang diakuinya jauh lebih hebat.
📸 Sekitar sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi menjelang Kelayakan Piala Asia 2023.
Dapatkan segera 'Tiket Kombo RM100' di https://t.co/yPVcBB3eyw untuk tempoh jualan waktu terhad berakhir 29 Mei ini.#FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/DEfTFUQGYv
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 22, 2022
Menurut Shahrul, beliau melihat para pemain yang beraksi sama posisi dengannya mempunyai corak permainan lebih menyakinkan seperti Dion Cools serta beberapa lagi tonggak dari Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menggugat kedudukannya sebelum pemilihan akhir oleh jurulatih.
“Ini rezeki saya dipanggil buat kali kedua, kali pertama ada masalah komunikasi. Saya teruja dan akan buat yang terbaik dalam kem latihan pusat ini.
“Ia pengalaman baharu buat saya untuk menyesuaikan diri dengan pemain senior. Saya rasa sedikit takut, tetapi saya yakin akan berasa selesa dan dapat sesuaikan diri dalam masa dua hingga tiga hari lagi,” katanya kepada Bernama.
Untuk rekod, Shahrul pernah terpalit dengan kontroversi selepas pertahanan kental tersebut gagal melapor di ke kem kebangsaan kerana dikhabarkan berada di tengah laut sewaktu mendapat panggilan itu bagi menghadapi dua aksi persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Jordan.
Shahrul juga mengakui cara kejurulatihan yang diterapkan Pan-gon sedikit berbeza berbanding ketika bersama kelab apabila lebih menekankan situasi permainan pantas dalam taktikal.
Ruventhiran, Shahrul Nizam Tersenarai Ke Latihan Pusat Harimau Malaya
▶️ Baca penuh di https://t.co/SUPnqu3rJ8#FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/7YVZDA5ji1
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 20, 2022
Selain itu, pemain tengah lincah iaitu Syamer Kutty Abba turut berharap agar rakan sepasukan lain tidak memberi sebarang ruang buat lawan untuk mengeksploitasi permainan pada perlawanan akan datang dengan meningkatkan kemahiran masing-masing dalam latihan.
“Kita juga mesti bertahan dengan lebih baik dan padu bagi kelayakan kali ini, kerana kita akan berdepan dengan beberapa pasukan yang lebih baik. Ia tidak mudah, tetapi insya-Allah kami akan buat yang terbaik,” katanya.
Beliau juga mengakuit tidak memandang mudah pada setiap lawan bakal dihadapi apabila bakal menentang Brunei pada 27 Mei serta Hong Kong kerana setiap perlawanan penting untuk mereka mengukur sejauh mana persediaan telah dibuat sebelum aksi sebenar, pusingan Kelayakan Piala Asia 2023.
Dalam saingan tersebut, Malaysia bakal menentang Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam misi untuk layak ke Piala Asia buat kali pertama sejak 2007.