Penalti Hasil Pengadilan Dengan Bantuan Video (VAR) Yang Pertama!

Pengadilan dengan bantuan video ataupun Video Assistant Referee (VAR) telahpun digunakan dan sudah menganugerahkan penalti buat kali pertama dalam pertandingan Piala Kelab Dunia FIFA 2016 yang sedang berlangsung di Jepun.

Sebelum ini beberapa siri ujian turut dilakukan namun untuk yang memberikan sepakan penalti, ini adalah yang pertama.

Pengadil dari Hungary, Viktor Kassai terpaksa meminta bantuan VAR selepas ragu-ragu dalam insiden yang melibatkan pemain Kashima Antlers, Daigo Nishi yang dijatuhkan Orlando Berrio (Atletico Nacional).

Selepas insiden tersebut, bola masih dalam permainan sekitar 45 saat sebelum Kassai memberikan isyarat kepada pegawai VAR bahawa beliau mahu melihat kembali rakaman insiden.

FIFA mengeluarkan kenyataan :

“Selepas insiden itu Kassai memberikan isyarat ‘tv’ kepada pembantu pengadil video (Video Assistant Referee) Danny Makkelie.”

“Kassai mahu melihat rakaman insiden tersebut di tepi padang pada monitor khas yang disediakan.”

“Kassai meneliti insiden tersebut dengan mengambil kira ada potensi ofsaid dalam insiden tersebut. Selepas diteliti, ofsaid tersebut tidak ada kaitan dengan kekasaran yang menyebabkan penalti.”

Kassai dan pegawai beliau mengambil masa selama 1 minit dan 10 saat sebelum memutusan untuk memberikan sepakan penalti kepada Kashima Antlers.

Penalti tersebut disempurnakan oleh Shoma Doi. Kashima Antlers menang 3-0 ke atas Atletico Nacional.

Langkah Pro-aktif FIFA

FIFA menggunakan kejohanan Piala Dunia Kelab kali ini sebagai medium untuk menguji keberkesanan VAR dalam pengadilan.

Ia bukan sahaja dalam insiden penalti, malah pengadil boleh merujuk VAR untuk mana-mana insiden yang mereka rasa was-was untuk buat keputusan.

Antaranya adalah insiden kad merah, mengenal pasti identiti pemain yang sepatutnya mendapat kad takut tersilap identiti. Ia juga boleh digunakan untuk menarik semula keputusan yang silap oleh pengadil.

Sekiranya prestasi VAR memuaskan, ia akan diperluaskan FIFA lagi untuk peringkat universal dalam pertandingan bola sepak di bawah naungan mereka.

Komen Pengurus Atletico Nacional

‘Mangsa’ pertama VAR adalah pasukan Atletico Nacional. Pengurus mereka, Reinaldo Rueda berkata:

“Kami adalah mangsa ‘inovasi’. Namun saya tidak kata kami kalah kerana teknologi VAR.”

Beliau merujuk kepada insiden penalti tersebut yang dianggap agak sukar diterima namun beliau tidak menafikan pasukan Kashima Antlers berhak menang secara keseluruhannya.

Pandangan Kami

Teknologi semakin mengambil alih banyak tugasan pengadil. Sebelum ini teknologi garisan gol. Bola sepak adalah sukan yang kadangkala penuh keghairahan kerana drama oleh keputusan manusia di dalam padang.

Kini, drama itu akan diambil alih oleh sesi yang lebih sistematik. Dari segi kebaikan, ia memang akan membantu pasukan yang menjadi mangsa kesilapan pengadil untuk mendapat keputusan sewajarnya.

Dari segi kontranya pula, ia akan membuatkan pengadil ibarat seperti peniup wisel sahaja di dalam padang dan tidak ada lagi Perluigi Collina yang memiliki naluri yang kuat dan dihormati dalam membuat keputusan di dalam padang.

Baca juga : FIFA Uji Video Pembantu Pengadil (VAR) Ketika Itali vs Perancis, Pengadil Elak 2 Kesilapan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN