Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) mengeluarkan kenyataan menggantung tugas pengadil kontroversi Liga Perancis, Tony Chapron sehingga notis selanjutnya.
Semalam pengadil itu membuat tindakan lucu apabila menendang pemain Nantes, Diego Carlos ketika penghujung perlawanan membabitkan Paris Saint-Germain (PSG) apabila dia terjatuh selepas mereka bertembung dalam satu insiden aneh.
Chapron kemudian melayangkan kad kuning kedua kepada kepada Carlos serta kad merah kepada pemain itu.
https://twitter.com/RobbieRuud/status/952669588877201409
Rakaman video mengenai insiden berkenaan menjadi tular di seluruh dunia.
Kenyataan FFF menambah Chapron yang baru-baru ini mengadili perlawanan di China sudah menonton semula rakaman video perlawanan itu dan mengakui punca dia terjatuh adalah tidak disengajakan.
Chapron meminta maaf dan berkata, “Pemain Nantes, Diego Carlos, melanggar saya.
“Ketika masa pertembungan itu, saya merasa kesakitan yang teruk kerana saya baru-baru ini mengalami kecederaan. Reaksi saya yang tidak disenangi adalah dengan menghulurkan kaki ke arah pemain.
Dia akan dipanggil untuk mengadap jawatankuasa disiplin Liga Perancis bagi menerangkan dirinya.
Penggantungan itu bermakna Chapron digugurkan tugas daripada mengadili perlawanan Ligue 1, Rabu ini di antara Angers dan Troyes.
Semalam, Presiden Nantes, Walderma Kita mengkritik tindakan pengadil berkenaan melayangkan kad merah selepas bertindak menyepak pemain itu sendiri.
“Dia memberitahu saya dia tidak pernah mahu menyepak pemain itu dan dia merasakan ditolak dari belakang,” kata presiden Nantes, Waldemar Kita selepas bercakap dengan Chapron.
“Ia sesuatu yang lawak. Saya terima 20 mesej yang memberitahu saya bahawa pengadil ini kelakar,” kata Kita kepada TV Perancis.
“Apa yang anda mahu saya katakan? Jika saya bercakap banyak saya akan dipanggil mengadap suruhanjaya etika. Kami tidak ada hak untuk berkata apa-apa.” katanya.
Pemain tengah Nantes, Valentin Rongier yang melihat dengan jelas insiden berkenaan, meminta pengadil berkenaan dikenakan penggantungan panjang.
“Saya tahu ia sangat sukar buat pengadil tetapi anda perlu mempersoalkannya dari semasa ke semasa… Apabila kami melakukannya, kami akan digantung 10 perlawanan.” ujarnya.