Sesuatu yang lucu berlaku dalam saingan Liga Perancis apabila seorang pengadil, Tony Chapron melakukan tindakan yang pelik apabila cuba menyepak pemain dari Brazil dan melayangkan kad merah kepada pemain itu sendiri dalam perlawanan di antara Paris Saint Germain (PSG) menentang FC Nantes awal pagi tadi.
Ketika masa kecederaan PSG sedang melakukan serangan balas pantas, Chapron memasuki laluan pertahanan tengah Nantes, Carlos dan tersungkur atas padang.
Pegawai perlawanan itu mengejutkan penonton di stadium dan mereka yang menyaksikan di kaca televisyen apabila menyepak Carlos ketika masih terjatuh, insiden yang mengingatkan kembali apa yang berlaku kepada David Beckham pada Piala Dunia 1998, sebelum melayangkan kad kuning kedua buat pemain malang itu.
https://twitter.com/RobbieRuud/status/952669588877201409
“Dia memberitahu saya dia tidak tidak pernah mahu menyepak pemain itu dan dia merasakan ditolak dari belakang,” kata presiden Nantes, Waldemar Kita selepas bercakap dengan Chapron.
“Ia sesuatu yang lawak. Saya terima 20 mesej yang memberitahu saya bahawa pengadil ini kelakar,” kata Kita kepada TV Perancis.
“Apa yang anda mahu saya katakan? Jika saya bercakap banyak saya akan dipanggil mengadap suruhanjaya etika. Kami tidak ada hak untuk berkata apa-apa.”
Pemain tengah Nantes, Valentin Rongier yang melihat dengan jelas insiden berkenaan, meminta pengadil berkenaan dikenakan penggantungan panjang.
“Dia kata terjatuh, tapi saya tahu dia menyepaknya,” kata Rongier kepada Canal+.
“Saya tahu ia sangat sukar buat pengadil tetapi anda perlu mempersoalkannya dari semasa ke semasa… Apabila kami melakukannya, kami akan digantung 10 perlawanan.”
Pemain dari Argentina, Angel Di Maria menjaringkan gol kemenangan PSG ke atas FC Nantes. PSG yang kini merupakan pendahulu liga 1 Perancis hanya menurunkan barisan pemain kedua tanpa kelibat Neymar dan Thiago Motta yang mengalami kecederaan.
FC Nantes mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi dinafikan oleh kehebatan penjaga gol PSG, Alphone Areola.