Siapakah di antara kita yang pernah bercita-cita menjadi seorang pengadil bola sepak profesional? Tidak mudah untuk menjadi seorang pengadil.
Anda perlu berusaha untuk mendalami ilmu pengadilan, memastikan diri punyai stamina yang mantap dan memiliki kercerdasan minda dan fizikal yang sentiasa perlu diberikan perhatian.
Kemudiannya untuk tempoh 90 minit perlawanan, anda perlu bersedia untuk ditengking, dimarah dan dikeji oleh 2 pengurus atau jurulatih pasukan, 22 orang pemain dan puluhan ribuan penonton pada satu masa.
Jelas sekali, bidang pengadilan bukanlah bidang popular yang boleh diceburi oleh individu yang biasa-biasa.
Ada deretan keputusan pengadil di dalam sukan bola sepak yang pernah dipertikaikan di seluruh dunia. Kami bawakan kepada anda 5 keputusan pengadil yang mengundang kontroversi dan berprofil tinggi.
1. Graham Poll (Croatia vs Australia, 2006)
Ini adalah antara kecuaian paling tragis dalam isu pengadilan yang pernah terjadi. Graham Poll adalah seorang pegawai perlawanan yang sangat dihormati di dalam bidang pengadilan.
Di Piala Dunia 2006, Graham Poll dijadualkan untuk mengadili 2 perlawanan dan juga calon untuk mengadili perlawanan akhir Piala Dunia 2006.
Malangnya, dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan antara Croatia dan Australia, beliau gagal mengarahkan Josip Simunic untuk keluar padang walaupun telah dilayangkan dua kad kuning. Tiada layangan kad merah setelah pertahanan kiri Croatia itu mendapat kad kuning kedua.
Josip Simunic dilayangkan kad kuning ketiga dan kad merah kerana menolak Graham Poll setelah tidak bersetuju dengan penjelasan pengadil tersebut mengenai insiden dalam perlawanan- Josip Simunic hanya dibuang padang selepas tamat perlawanan!
2. Jorge Larrionda (England vs Germany, 2010)
Masihkah anda ingat akan perlawanan ini? England semenangnya terkenal akan kegagalan mereka di kejohanan antarabangsa.
Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan tidak terkecuali. Tetapi kesilapan pengadil di dalam perlawanan ini tetap dianggap sebagai punca utama penyingkiran “The Three Lions” di Afrika oleh fanatik pasukan tersebut.
Germany mendahului England 2-0 dalam perlawanan pusingan kedua ini sebelum Mathew Upson merapatkan jaringan. Beberapa ketika kemudian ketika momentum perlawanan terarah kepada skuad England, rembatan padu Frank Lampard singgah di bahagian palang, melepasi garisan gol sebelum melantun keluar.
Larrionda memberikan arahan supaya permainan diteruskan, menyebabkan mereka yang menyaksikan perlawanan tersebut tergamam memandangkan gol sepatutnya diberikan kepada pasukan England untuk kedudukan 2-2.
Ramai yang beranggapan keputusan perlawanan mungkin berubah andai gol itu dikira.
England akhirnya terkulai dibelasah Germany 4-1 dalam perlawanan itu dan Larrionda digantung daripada mengadili perlawanan dalam baki saingan Piala Dunia 2010.
3. Andre Marriner (Chelsea vs Arsenal, 2014)
Ini adalah kes kesilapan identiti yang teruk! Chelsea mendahului 2-0 dalam tempoh 7 minit perlawanan di Stamford Bridge dan masih terus bernafsu mengasak kubu Arsenal.
Dalam salah satu percubaan ke arah gol oleh Eden Hazard pada minit ke-17, Alex Oxlade-Chamberlain menepis bola tersebut dengan penuh bergaya. Andre Marriner kelihatan akan melayangkan kad merah kepada pemain Arsenal tersebut.
Malangnya, bukan Oxlade-Chamberlain yang mendapat layangan kad merah tetapi pertahanan Arsenal, Keiran Gibbs menjadi mangsa kesilapan identiti oleh Marriner.
Kad merah tersebut dipersoalkan kerana percubaan Hazard tidak tepat ke sasaran. Kesilapan identiti menyebabkan Marriner melakukan dua kesilapan dalam satu situasi dalam perlawanan tersebut.
Walaupun mengaku kesilapan beliau selepas perlawanan itu, tidak ada apa yang dapat mengubah keputusan kekalahan memalukan 6-0 Arsenal pada ketika Arsene Wenger meraikan perlawanan ke-1000 beliau bersama The Gunners!
4. Mark Clattenburg (Manchester United VS Totenham Hotspur, 2005)
Pedro Mendes adalah pemain yang sentiasa malang berkaitan dengan keputusan pengadil. Musim sebelumnya, beliau disiku oleh Ben Thatcher secara agresif sehingga dikejarkan ke hospital oleh pasukan medik. Thatcher hanya dilayangkan kad kuning dalam perlawanan berkenaan.
Menentang Manchester United, Pedro Mendes seakan-akan telah menjaringkan gol kemenangan untuk skuad London itu.
Menyedari kedudukan Roy Carrol yang agak jauh dari posisi sepatutnya, Mendes membuat percubaan lambung yang menewaskan Roy Carrol.
Carrol bagaimanapun mengeluarkan bola yang telah melangkaui garisan gol lebih sekaki itu tanpa dikesan oleh Clattenburg dan pembantu pengadil.
Clattenburg kelihatan meminta kepastian daripada pembantu pengadil ketika players Spurs melakukan bantahan. Bagaimanapun, beliau mengekalkan keputusan, tiada jaringan oleh Mendes untuk percubaan tersebut.
Perlawanan tamat tanpa jaringan dan individu yang paling lega ialah Sir Alex Ferguson, menyedari anak buahnya tidak bermain seperti sepatutnya dalam perlawanan yang dikuasai oleh Spurs itu.
5. Alli Bin Nasser (England VS Argentina, 1986)
Sukar untuk tidak memperkatakan jaringan “Hand of God” lagenda Argentina, Diego Maradona jika berbicara akan kontroversi pengadil.
Pada kedudukan masih 0-0, Maradona bermain satu dua dengan rakannya , Jorge Valdano dalam satu gerakan menyerang ke arah kubu England. Ketika bola melambung di udara hasil gerakan menarik itu, Peter Shilton dan Maradona melompat untuk memenangi bola. Kita semua tahu apa yang berlaku selepas itu.
Gol “Hand of God” Diego Maradona disifatkan sebagai antara gol paling epik dalam sejarah Piala Dunia. Mungkinkah ia berlaku supaya ia kekal dikenang oleh dunia dengan cara sebegitu?
Walaupun mendapat bantahan daripada pemain-pemain England, pengadil daripada Tunisia, Alli Bin Nasser tetap teguh dengan keputusannya membenarkan gol pertama Argentina dalam perlawanan itu.
Ketika barisan pemain England masih sukar menerima hakikat gol berkenaan dibenarkan, 4 minit selepas itu Diego Maradona menjaringkan antara gol terhebat dalam sejarah bola sepak Piala Dunia untuk meletakkan Argentina selesa di hadapan dengan jaringan 2-0.
Diego Maradona dan Argentina mara ke final dan memenangi Piala Dunia edisi 1986 tersebut.
Mungkinkah England akan tampil sebagai juara Piala Dunia 1986 andai gol “Hand of God” itu tidak dibenarkan oleh pengadil?
Kesimpulan
Bola sepak diakui sebagai satu sukan yang penuh drama, aksi, kontroversi, dan pelbagai lagi kisah yang menempatkan sukan ini sebagai sukan nombor satu dunia.
5 insiden yang disenaraikan di atas adalah sebahagian daripada warna dalam bola sepak. Graham Poll telah dicemuh sehingga mengambil keputusan bersara sebagai pengadil pada akhir musim setelah kontroversi tersebut memalit kariernya.
Jika mutu pengadilan dibicarakan, kita hanya akan mengakhirinya dengan satu konklusi. Bahawasanya akan sentiasa ada ruang untuk ia dipersoal, sebagaimana ruang untuk ianya diperbaiki.