Mungkin Penang ada sebab untuk berasa kecewa dengan keputusan tewas kepada Sabah kerana sekali lagi pengadil jadi tumpuan ramai apabila Zulkarnain Zakaria dikatakan gagal mengadili perlawanan dengan baik.
Sebelum ini pengadil pernah dipersalahkan ketika aksi Kedah Darul Aman menentang PDRM dan Sri Pahang menentang Sabah. Untuk aksi malam tadi di Stadium Likas, giliran Zulkarnain Zakaria pula menambah perisa.
Sabah menang 5-2 ke atas Penang, namun seperti mana kata-kata Chong Yee Fatt, keputusan perlawanan ini tidak menggambarkan aksi mereka.
Begitupun, beliau mengakui Sabah adalah pasukan yang lebih baik daripada Penang. Mungkin hanya keputusan perlawanan terlalu nampak janggal.
“Kami memang menjangkakan aksi yang sukar. Tetapi, kami datang ke sini untuk memberi tentangan, malah kami yakin untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata. Sabah beraksi dengan baik,” ungkapnya.
“Mereka layak untuk menang, tetapi keputusan perlawanan bukan seperti persembahan pemain. Kami tidak layak untuk tewas besar sebegini. Adakalanya kami bermain dengan baik tadi dan mampu capai sasaran yang kami anggap kami mampu capai,” tambahnya lagi di sidang media.
Apabila bercakap tentang keputusan perlawanan, terdapat beberapa keputusan pengadil yang memberi kelebihan buat tuan rumah, malam tadi.
Antaranya penalti yang dihadiahkan pengadil kepada Sabah apabila penjaga gol pelawat, Khatul Anuar dipersalahkan menumbuk bola keluar dalam persaingan udara yang mana selalunya penjaga gol diberi ‘advantage’.
Namun, apabila berlaku pelanggaran bersama Dominic Tan di minit ke-40, Khatul yang dipersalahkan dan ini yang telah menimbulkan persoalan.
Penyerang skuad negara, Darren Lok mudah meletakkan Sabah kembali di depan apabila menyempurnakan sepakan penalti ‘meragukan’ tersebut.
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) March 18, 2023
Sebelum itu, keputusan perlawanan terikat 1-1 selepas Park Tae-su dan Soony Saad meledak gol buat kedua-dua pasukan dalam 10 minit aksi.
Berpunca daripada sepakan penjuru, Park menanduk masuk gol pertama menewaskan Khatul Anuar yang tampil buat kali pertama musim ini selepas pulih daripada kecederaan ketika perlawanan baru berusia tiga minit.
Minit ke-8, Soony mengikat kedudukan buat Penang apabila menyudahkan gerakan serangan menarik dengan lambungan menewaskan Khairul Fahmi.
Gol penalti Darren Lok itu memusnahkan mental pelawat yang dibolosi gol demi gol. Keputusan pengadil merentap semangat Harimau Kumbang.
Minit ke-55, Daniel Ting meledak gol ke-3 The Rhinos seterusnya Park sekali lagi menghasilkan gol pada minit ke-60 untuk Sabah mendahului 4-1.
Pengadil jadi tumpuan sekali lagi apabila Penang dihadiahkan sepakan penalti yang jika dilihat kekasaran tersebut berlaku di luar kotak penalti. Adriano menyempurnakannya untuk gol kedua di hujung perlawanan.
Jaringan tidak berakhir di situ apabila satu lagi penalti diberikan Zulkarnain sebelum wisel penamat ditiup dan kali ini giliran Sabah terima ‘anugerah’.
Bek tengah, Zaw Min Tun dipersalahkan apabila dikatakan menjatuhkan Irfan Fazail yang jika dilihat seperti tiada apa-apa yang berlaku ketika itu.
Dan Khatul hanya membiarkan sepakan penalti itu menerjah jaringnya mungkin sebagai tanda prostes terhadap keputusan pengadil yang janggal.
Jelas, Penang terkesan dengan mutu pengadilan Zulkarnain dan ini bukan kali pertama pengadil ini terpalit dengan kontroversi, sudah berkali-kali.
Untuk musim ini sudah beberapa insiden serta kontroversi melibatkannya dan jelas keputusan yang dibuatnya setakat ini memburukkan pengadil lain.