Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin akhirnya menamatkan penantian panjangnya untuk membuat penampilan bersama skuad utama KV Kortrijk apabila dimasukkan pada minit-minit akhir ketika pasukannya tewas 2-0 kepada KVC Westerlo dalam aksi Jupiler Pro League pada Sabtu.
Pemain berusia 20 tahun itu dimasukkan pada minit ke-88 menggantikan penyerang Uruguay, Felipe Avinatti ketika Kortrijk sudah pun ketinggalan dua gol hasil jaringan Nicolas Medsen dan Nene Dorgeles.
⏱| 88'
Laatste wissel bij KVK
➡️ Luqman
⬅️ Avenatti0⃣-2⃣ | #KVKWES 🔴⚪️
— KV Kortrijk (@kvkofficieel) October 22, 2022
Ia merupakan penampilan kedua Luqman bersama skuad senior kelab Belgium tersebut selepas kali terakhir adalah ketika menentang RSC Anderlecht dua tahun lalu.
Musim 2022/23 ini, Luqman kerap termasuk dalam senarai pemain simpanan skuad bimbingan Adnan Custovic.
Ia pastinya satu petanda positif buat pemain kelahiran Kota Bharu tersebut yang dikhabarkan bakal pulang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) selepas gagal menembusi skuad utama Kortrijk.
Luqman dikaitkan dengan spekulasi menyertai Perak yang kini dikendalikan oleh Lim Teong Kim yang merupakan mentornya ketika bakat beliau digilap di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) beberapa tahun lalu.
Kelab milik hartawan Malaysia, Vincent Tan itu kini sedang bergelut di zon penyingkiran dengan menghuni dasar liga selepas hanya mengumpul 11 mata daripada 14 perlawanan.