PSM Makassar secara rasminya telah pun mengesahkan diri mereka sebagai juara Liga 1 Indonesia musim ini lebih awal setelah unggul berada di kedudukan pertama tanpa ada sebarang pencabar terdekat.
Menerusi 32 perlawanan dihadapi kini, PSM Makassar sudah pun meraih 72 mata menerusi 21 kemenangan dilakar mereka untuk jauh mendahului Persib Bandung di tangga kedua.
WE ARE THE CHAMPION #BRILiga1 2022/23 🏆🥇
Tahun lalu kita diambang jurang, tahun ini kita pemenang.
Tidak pernah berhenti berjuang hadapi surut dan pasang.
Setelah 23 tahun penantian panjang, sudah saatnya kita bersenang-senang.#EwakoPSM #PSMDAY #Champion pic.twitter.com/oYCt0WnvFl— PSM Makassar (@PSM_Makassar) March 31, 2023
Kejayaan ini menjadikan mereka berjaya melakar rekod tersendiri, selepas kali terakhir menjuarai Liga Indonesia pada musim 1999/2000 dan kembali mengulanginya 23 tahun kemudian.
Segalanya menjadi kenyataan kembali musim ini menerusi pengendali import mereka iaitu Bernardo Tavares yang boleh dianggap sangat berkaliber dalam memastikan segalanya menjadi milik PSM Makassar.
Pengendali yang berasal dari Portugal itu jelas menjadi antara individu paling gembira selepas memastikan pasukannya berjaya meraih gelaran juara tersebut.
Jelas beliau, kejayaan itu jelas menggembirakannya selepas ramai yang menjangkakan PSM Makassar tidak mampu untuk melangkah lebih jauh musim ini.
“Saya fikir, kemenangan ini mewujudkan kembali nostalgia pada 23 tahun dahulu buat PSM Makassar untuk meraih gelaran juara Liga 1 Indonesia.
“Sejak awal musim, ramai yang tidak mempercayai kualiti dimiliki kami serta ada turut menyatakan PSM Makassar tidak akan mampu melangkah dengan lebih jauh.
“Itulah apa yang saya katakan pada pemain selepas menghadapi pelbagai situasi sukar untuk tampil bersedia dalam saingan liga yang turut membabitkan staf serta para penyokong untuk memenuhi stadium. Ianya sangat hebat.
“Daripada situasi sukar yang dihadapi itu, kita berjaya membentuk pasukan yang lebih cekap dan baik kerana saya tahu segalanya tidak mudah untuk menjadi juara liga,” jelas Tavares menerusi Bola.com.
Pengendali berusia 42 tahun itu juga menyatakan banyak perkara-perkara sukar dihadapi beliau sejak awal musim menyertai PSM Makassar yang tidak ramai tahu.
“Saat pertama kali tiba di Indonesia bersama staf kejurulatihan yang lain, kami bersama pemain menghadapi banyak kesukaran untuk diatasi.
“Kami tak ada pusat latihan, stadium sendiri, serta sukar untuk mengadakan aksi persahabatan bersama pasukan-pasukan lain, padahal ini merupakan tugas musim pertama saya untuk membangunkan kembali pasukan,” tambah beliau.
Pada masa sama, Tavares enggan menjadikan diri beliau sebagai faktor kejayaan pasukan musim ini dan beliau mendedahkan segalanya direalisasikan kerana semangat pemain serta penyokong sendiri.
#MaduraPSM
Laga penuh air mataAir mata haru kebahagian 🥹🏆#EwakoPSM #PSMJuara #BRILiga1 pic.twitter.com/M0yZsVKXjM
— PSM Makassar (@PSM_Makassar) April 1, 2023
“Ini bukan soal jurulatih sahaja, tetapi melibatkan semangat pemain serta penyokong itu sendiri. Musim lalu kami hampir tersingkir ke divisyen dua, tetapi perjuangan kami sendiri kuat untuk terus bertahan.
“Kadangkala kami sendiri mengakui sangat penat, tetapi kehadiran para penyokong umpama memberi tenaga tambahan untuk kami berjuang. Mereka semua adalah pejuang,” kata Tavares akhir sekali.