Perancis muncul juara Piala Dunia 2018 selepas berjaya menundukkan Croatia 4-2 pada perlawanan yang berlangsung di Luzhniki Stadium sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Croatia kelihatan lebih garang di minit awal terutamanya pada 10 minit pertama dengan mengawal permainan serta melancarkan beberapa siri gerakan ke kubu Perancis.
Bagaimanapun, Perancis yang dibimbing Didier Deschamps menceriakan penyokong Les Blues dengan jaringan pembukaan pada minit ke-18.
Jaringan tersebut terhasil apabila Mario Mandzukic tertanduk bola ke gawang sendiri dalam situasi sepakan percuma yang diambil Antoine Griezmann.
Berselang 10 minit kemudian, perlawanan bertambah menarik selepas Croatia kembali menyamakan kedudukan menerusi Ivan Perisic yang meledakkan rembatan deras yang terus menembusi gawang Perancis.
Usaha Perisic bagi membantu jentera pertahanan ketika sepakan sudut membawa padah akibat bola yang disepak Griezmann terkena tangan pemain berusia 29 tahun itu.
Pengadil perlawanan, Nestor Pitana terpaksa merujuk kepada Video Assistant Referee (VAR) sebelum menghadiahkan sepakan penalti buat Perancis.
Griezmann yang mengambil sepakan tersebut dengan mudah menewaskan Danijel Subasic bagi sekali lagi meletakkan Perancis di hadapan.
Kedudukan 2-1 tersebut kekal hingga tamat aksi separuh masa pertama.
Separuh masa kedua
Corak permainan menarik terus ditampilkan kedua-dua pasukan sebaik sahaja perlawanan bersambung.
Ante Rebic mendapat lorongan baik dari Ivan Rakitic melepaskan rembatan cantik yang dinafikan dek ketangkasan Hugo Lloris pada minit ke-48.
Walaupun tidak begitu mengawal permainan, Perancis berupaya melancarkan serangan balas pantas terutamanya menerusi kepantasan larian Kylian Mbappe.
Kelincahan Mbappe ternyata sukar dibendung apabila beliau berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan tetapi sentuhan terakhirnya dihalang Subasic.
Perlawanan terpaksa dihentikan seketika di minit ke-52 apabila terdapat gangguan dari penonton yang berlari masuk ke tengah padang. Pasukan keselamatan stadium berjaya mengawal keadaan tersebut dengan baik.
Perlawanan bersambung menyaksikan Paul Pogba menjadikan kedudukan 3-1 setelah beliau melakukan sepakan ‘placing’ menarik dari luar kotak penalti pada minit ke-59.
Tidak cukup dengan itu, Mbappe turut mencetak nama selaku penjaring dengan satu lagi sepakan dari luar kotak penalti yang terus mengecewakan Subasic.
Lloris kemudiannya melakukan kesilapan yang menyebabkan Croatia berjaya merapatkan kedudukan apabila kecuaiannya di hadapan gol digunakan sepenuhnya Mandzukic untuk gol kedua skuad bimbingan Zlatko Dalic.
Saat yang ditunggu-tunggu kem Perancis akhirnya menjelma apabila Pitana meniup wisel penamat untuk menghadiahkan trofi bola sepak paling berprestij di dunia itu buat Les Blues bagi kali kedua selepas menanti selama 20 tahun.
Kejayaan ini juga turut berjaya mengubati kekecewaan Perancis yang tumpas pada perlawanan akhir Kejuaraan Eropah 2016 di tangan Portugal.