Penangan Menang Derbi Utara, Aidil Sharin Terus Pulang Ke Singapura

Aidil Sharin Singapura Kedah Menang

Sejurus melakar tiga mata pertama selepas tiga aksi liga, pengendali Kedah Darul Aman, Aidil Sharin Sahak dilihat terus berangkat pulang ke Singapura.

Barangkali prestasi yang dipamerkan para pemainnya ketika menundukkan Penang FC dengan keputusan 1-0 malam tadi sudah cukup buatnya untuk kembali sebentar ke kampung halaman dengan tenang bagi bertemu ahli keluarganya. Sebelum ini, prestasi Sang Kenari agak membimbangkan.

Manakan tidak, dalam aksi Liga Super 2022, Kedah gagal meraih tiga mata dalam tiga perlawanan berturut-turut dan kali terakhir menang pada 19 Julai lalu – 3-1 mengatasi Sarawak United. Ia satu jangka masa yang lama.

Malah sebelum kemenangan ke atas Sarawak United pada 19 Julai, Kedah juga kemarau tiga mata dalam lima perlawanan berturut-turut. Mungkin atas faktor itu, Aidil berusaha gigih untuk memperbaiki kelemahan mereka.

Dalam perlawanan tertunda minggu ke-16 liga antara Kedah dan Penang malam tadi, jaringan tunggal Ngah Wanja sudah cukup untuk Sang Kenari pulang dengan tiga mata dan mendekatkan mata dengan pencabar di atas mereka seperti KL City FC di tangga ke-5 dan Sri Pahang di tangga ke-6.

Apa yang lebih membuatkan Aidil gembira adalah semua pemain import mereka akhirnya dapat diturunkan bermain bersama buat kali pertama selepas melalui 14 perlawanan liga. Pastinya ini satu petanda positif.

“Kita juga memiliki kelima-lima pemain import dalam satu perlawanan kerana dalam aksi sebelum ini kita tidak pernah dapat membariskan pemain import dengan lengkap.”

“Saya harapkan perkara yang sama [aksi Kedah yang sebenar bermula dengan membariskan semua import]. Harap segalanya akan bertambah baik dan saya percaya pemain import adalah penting kerana mereka tonggak pasukan. Harapnya dengan permulaan baik ini, kita akan semakin bertambah baik selepas ini.”

Babak pertama berakhir tanpa jaringan walaupun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman.

Ayam tambatan Harimau Kumbang, Lucas Silva berjaya dikunci ketat oleh benteng tuan rumah yang ditunjangi Akmal Zahir dan Marc Vales yang turut dinobat sebagai pemain terbaik buat Kedah untuk aksi malam tadi.

Babak kedua menyaksikan Sang Kenari mengawal perlawanan dan hasilnya Ngah Wanja berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-56 untuk Kedah di depan, hasil hantaran lolos Al-Hafiz Harun – jaringan ke-10 peribadinya.

Tersentak dengan gol itu, Penang menggandakan asakan dalam usaha menyamakan kedudukan. Peluang terbaik mereka hadir melalui Lucas Silva pada minit ke-68 yang merembat dari luar kotak penalti namun ia tersasar.

Minit ke-87, Ngah Wanja hampir memberikan Kedah jaringan kedua, namun rembatan beliau tersasar walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol pelawat, Hafizul Hakim. Perlawanan berakhir dengan Kedah meraih tiga mata, sementara Penang tersungkur dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

“Saya harap dengan tiga mata ini, keyakinan pemain akan kembali kerana sudah agak lama kita tidak mendapat tiga mata. Kemenangan di halaman sendiri juga sangat baik sebagai permulaan untuk kita membina keyakinan semula.”

Menang dan tentunya lega, Aidil Sharin boleh pulang ke Singapura dengan lebih tenang untuk bertemu dengan ahli keluarganya. Kedah akan bertemu Melaka United pada 9 September dan Selangor pada 14 September.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN