Minggu kedua CIMB Liga Super 2020 telah berlalu dengan enam perlawanan telah berlangsung pada Jumaat dan Sabtu dengan 25 gol berjaya dihasilkan oleh 12 pasukan berbanding hanya 12 gol telah dijaringkan pada minggu lalu.
Perlawanan tumpuan sekali lagi melibatkan Kedah yang kali ini bertemu pasukan yang dilabel antara pencabar mahkota kejuaraan Liga Super musim ini Terengganu FC, selain pertemuan klasik antara dua seteru lama, Selangor dan Perak.
Berikut adalah lima perkara yang mungkin menarik sepanjang minggu kedua Liga Super berlangsung. Para pembaca juga boleh menyenaraikan perkara lain yang mencuri perhatian sepanjang minggu kedua tempohari di ruangan komen.
Pertembungan klasik di SNBJ
Selangor yang menghadapi masalah venue pertandingan sejak permulaan musim ini akhirnya dibenarkan untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) – untuk sekali sahaja, bagi melayan kunjungan seteru, Perak pada Sabtu.
Namun, perlawanan yang telah diibaratkan seperti pertembungan final disebabkan permusuhan lama antara kedua-dua pasukan dan juga telah dilangsungkan di SNBJ, akhirnya berkesudahan ‘sendu’, dengan keputusan terikat seri 1-1.
Wan Amirul Afiq curi tumpuan
Nama pemain bek sayap kanan Melaka United berusia 27 tahun ini secara tiba-tiba telah mencuri tumpuan kerana beliau bukanlah pemain yang ternama di saingan Liga Malaysia selama ini, selain beliau adalah pemain yang sudah agak berusia.
Dalam dua perlawanan setakat ini, Wan Amirul Afiq telah membuat tiga bantuan gol dan satu gol, dengan aksi minggu kedua ini paling menarik perhatian apabila berhasil meledak gol jarak jauh berserta dua bantuan gol untuk menumpaskan PDRM 3-1.
Kogileswaran ‘tembak’ bekas pasukan
Sejak menyertai Pahang pada musim 2016, perkembangan pemain yang pernah dilabel pemain muda berbakat Malaysia ini seperti ‘tidak berganjak’ apabila kerap dibekukan di bangku simpanan – kurang 30 penampilan dalam empat musim.
Jaringan padunya berpunca daripada sepakan percuma di minit ke-95 memberikan kemenangan pertama dan berharga buat PJ City FC selain menumpaskan bekas majikannya yang juga merupakan naib juara Liga Super musim lalu, Pahang.
Tumpas lepas ‘leading’ perlawanan 3-1
Boleh dikategorikan perlawanan tumpuan dan juga epik setakat ini dengan tujuh gol dihasilkan sepanjang 90 minit. Menariknya Kedah yang mendahului aksi 3-1 sehingga hampir 80 minit perlawanan berlangsung, akhirnya tumpas di penghujung aksi.
Terlalu yakin ataupun mungkin hilang fokus menjadi punca kepada kekalahan kedua Kedah dan kali ini ke atas Terengganu selepas ditundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan pertama yang juga Piala Sumbangsih pada minggu lalu.
Penangan Dominique Sylva
Meledak empat gol untuk membantu Terengganu bangkit daripada ketinggalan dan seterusnya menumbangkan Kedah 4-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, terus melonjak naik nama Dominique Sylva di saingan Liga Super.
Kali terakhir seorang penyerang telah meledak empat gol dalam satu perlawanan di Liga Super adalah pada musim 2017 iaitu Mohamed Ghaddar yang meledak empat gol untuk Kelantan membenam Pulau Pinang 5-1 – juga di gelanggang lawan.
KREDIT FEATURED IMAGE: TERENGGANU FC