Seakan-akan statistik Ultimate Fighting Championship (UFC), portal statistik bola sepak tempatan, Atlead Pass memuat naik statistik ‘gocoh’ antara Penang FC dan Terengganu FC II dalam aksi pra musim, baru-baru ini.
Kekecohan dan pergaduhan melibatkan kedua-dua pasukan telah mencetuskan gempar di saat sebelum itu tular insiden yang sama dalam aksi bola sepak amatur di Gombak melibatkan Mutiara Gombak dan GBK FC.
Penang dan TFC II bertemu dalam aksi terakhir kejohanan empat penjuru yang turut melibatkan Terengganu FC dan Sri Pahang. Pemenang perlawanan ini akan dinobat juara Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2022 kerana kedua-dua pasukan berpeluang untuk muncul juara selepas cemerlang melalui dua perlawanan sebelum itu.
Aksi Pra Musim Pasukan Liga Malaysia Bertukar Jadi Gelanggang ‘Muay Thai’
Mungkin, itulah faktor pertama mendorong aksi panas di perlawanan tersebut – menang dan julang kejuaraan.
Adakah statistik oleh Atlead Pass itu betul atau ia hanya sekadar bermain sindiran kesimpulan aksi tersebut?
Menjawab kepada persoalan tersebut, wakil Atlead Pass, Encik Zahid mengesahkan kepada Semuanya BOLA, ia adalah statistik sebenar kejadian yang berlaku di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Rabu lalu.
Atlead Pass merupakan penyedia statistik bola sepak tempatan yang bekerjasama bersama Balrz TV untuk kejohanan empat penjuru tersebut. Disamping menyediakan statistik perlawanan, nampaknya statistik ‘gocoh’ juga mereka telah sediakan. Dalam statistik tersebut, jelas Penang ‘tewas’ dari segenap sudut kepada TFC II.
Menurut Zahid, jumlah pemain termasuk jurulatih terlibat dalam kekecohan tersebut adalah 42 orang, dengan TFC II merekodkan penglibatan tertinggi iaitu seramai 24 orang berbanding Harimau Kumbang, hanya 18 orang.
Bukan hanya dari segi jumlah penglibatan, Penang juga ‘tewas’ dari segi pukulan, tendangan dan satu aspek menarik iaitu pukul curi atau ‘hit and run’. Malah, skuad kendalian Tomas Trucha juga memutuskan untuk tidak menamatkan perlawanan selepas berakhir babak pertama, seterusnya pulang ke tempat penginapan mereka.
Sementara itu, kedua-dua pasukan telah membuat kenyataan media mengenai insiden tersebut dan berharap perkara ini tidak akan berulang lagi di kemudian hari. Mereka juga mengharapkan isu ini tidak berpanjangan.