Penang perlu mencipta kebangkitan untuk aksi Liga Super musim 2024/2025 hari ini membabitkan kelab tersebut menentang cabaran Negeri Sembilan di laman sendiri bagi mendapatkan kembali kemenangan.
Rekod terdahulu menyaksikan Penang gagal memperoleh sebarang kemenangan dalam dua perlawanan dihadapi dengan skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli mencipta seri terlebih dahulu sewaktu menghadapi Kuching City.
Pada aksi seterusnya, pasukan tersebut merekodkan kekalahan besar 0-5 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) walaupun mereka menurunkan pemain baharu di posisi serangan dari Australia iaitu Dylan Wenzer Halls.
Untuk perlawanan hari ini, sudah tentu Akmal tidak rela keciciran sebarang mata lagi dengan fokus kemenangan sudah tentu diletakkan mereka untuk terus memperbaiki kedudukan semasa di carta liga.
Walaupun begitu, cabaran Negeri Sembilan juga tidak boleh diambil mudah kerana pasukan itu juga sudah tentu enggan pulang dari gelanggang lawan bersama tangan kosong.
Seperti Penang, skuad Hoben Jang Hoben juga masih kemarau akan kemenangan selepas mengharungi lima perlawanan di pentas Liga Super dengan kali terakhir mereka memperoleh tiga mata penuh pada 13 Julai lalu sewaktu mengetepikan Sri Pahang.
Hadir dengan serba tidak menjadi di segenap posisi, pasukan itu perlu bangkit supaya tidak terus keciciran sebarang mata yang bakal meletakkan Negeri Sembilan di kelompok bawahan.
Statistik dua kali pertemuan antara pasukan tersebut pada musim lalu menyaksikan masing-masing terikat seri dan sudah tentu rekod tersebut ingin dipecahkan pada malam ini.
Mengulas tentang pemain tumpuan pula, Penang dijangka bakal mempertaruhkan Dylan sebagai peledak utama pasukan untuk bergandingan bersama bintang dari Brazil iaitu Rodrigo Dias.
Walaupun tidak meledak sebarang gol, aksi dipamerkan oleh Dylan pada perlawanan lalu boleh dianggap cukup menyakinkan untuk sekurangnya mengkucar kacirkan pertahanan Harimau Selatan.
Mempunyai reputasi tinggi di Australia serta saingan AFC, sudah tentu Akmal meletakkan harapan tinggi buat penyerang baharu itu untuk membantu kelab meraih keputusan lebih positif.
Terarah kepada Negeri Sembilan pula, bintang dari Jepun iaitu Takumi Sasaki bakal menjadi antara perhatian utama para pemerhati bola sepak tempatan ekoran impak diberikan beliau cukup menyakinkan.
Skil gelecekan, kepantasan, serta kreativiti beliau di hadapan gawang gol sudah tentu ditagih rakan sepasukan lain untuk mendapatkan seberapa banyak jaringan diperlukan Negeri Sembilan.