Bila kali terakhir Penang merasai kemenangan? Mungkin itu persoalan yang timbul dalam kalangan peminat setelah melihat kekalahan terbaharu dihadapi kelab tersebut.
Kali terakhir pasukan tersebut meraih kemenangan ialah pada 1 Ogos lalu ketika mereka meraih kemenangan 3-0 mengatasi Kelantan Darul Naim (KDN) di halaman sendiri.
Selepas itu, mereka hanya merasai dua kali keputusan seri serta lima kekalahan daripada tujuh perlawanan bagi aksi Liga Super musim 2024/2025.
Secara keseluruhan pula, Penang meraih dua kemenangan, lima seri, serta tujuh kekalahan kini untuk berada dalam senarai tiga pasukan terbawah bersama KDN serta Negeri Sembilan.
Terbaharu, pasukan tersebut terus tampil mengecewakan apabila mereka mencipta kekelahan besar 0-4 kepada Sabah serta 0-1 di tangan Terengganu bersama aksi cukup tidak menyakinkan.
Dua perlawanan itu juga menyaksikan Merzagua Abderrazak mengambil alih selaku jurulatih utama kelab bagi menggantikan khidmat Akmal Rizal yang dianggap kurang memberansangkan.
Buat pertama kali bawah kendalian Merzagua, Penang tampil dengan tiada sebarang perubahan ketara melainkan dua kekalahan bersama aksi tidak menyakinkan.
Satu-satunya perkara positif mengenai Penang mungkin hanya berkisarkan pemain import mereka iaitu Dylan Wenzer-Halls yang beraksi dengan cukup bagus untuk menghidupkan jentera serangan.
Selebihnya, pasukan itu tampil seolah tiada hala tuju dalam permainan serta mencipta pelbagai kesilapan mudah yang membenarkan lawan untuk mengatasi serta mengambil peluang.
Malah kehadiran bintang-bintang import lain juga dianggap tidak memberi sebarang impak buat perjalanan semasa kelab yang bertambah parah kini.
Di media sosial, seperti dijangka para penyokong Penang meluahkan segala rasa tidak puas hati mereka kepada prestasi semasa kelab sedangkan nasib pemain pasukan itu tidak memiliki masalah seperti tunggakan gaji.
Untuk keadaan semasa, dengan kehadiran jurulatih baharu juga mungkin sedikit sukar untuk menaikkan prestasi semasa kelab kerana banyak perlu diperbaiki terutama membabitkan aspek teknikal pemain.
Apapun, kami di Semuanya BOLA berharap supaya ada suntikan baharu mungkin perlu diberikan kepada pemain atau staf kejurulatihan supaya prestasi Penang kembali untuk sekurang-kurangnya memberi persaingan sengit kepada kelab lain di Malaysia.