Penang dijangka bakal bertambah baik pada pertengahan musim ini selepas mereka tampil dengan serba tidak kena pada aksi awal di saingan Liga Malaysia terutama di posisi serangan utama.
Terbaharu, skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli dilaporkan bakal mendapatkan beberapa pemain baharu dalam usaha untuk terus memperkukuhkan jentera serangan mereka.
Laporan itu dikeluarkan sendiri oleh wartawan Astro Arena iaitu Fadhirul Shuhaimi dengan menyatakan Akmal bakal mengadakan perbincangan bersama pengurusan demi membawa masuk tenaga baharu di posisi serangan.
“Ketua Jurulatih Penang, Akmal Rizal sahkan beliau sudah berbincang dengan pihak pengurusan untuk bawa masuk seorang penyerang Import kuota Asia serta seorang penyerang tempatan ketika jendela perpindahan kedua Liga M yang akan dibuka bermula 26 Ogos depan,” jelas beliau.
Terdahulu, Penang menjadi antara kelab yang mengalami isu ketumpulan di jentera serangan selepas mengharungi beberapa aksi di pentas domestik.
Daripada tujuh perlawanan diharungi mereka, Penang hanya mampu merekodkan dua jaringan sahaja secara keseluruhan untuk menggambarkan betapa kritikalnya posisi serangan kelab itu.
Dua jaringan tersebut pula hanya terhasil ketika pasukan itu terikat seri bersama PDRM serta Sri Pahang dalam saingan pertama Piala FA lalu.
Tampil dengan beberapa rombakan musim ini, Penang sebenarnya merupakan salah satu pasukan yang lebih baik jika dibandingkan prestasi semasa merek di atas padang pada saingan lalu.
Daripada segi kualiti pertahanan serta penguasaan bola, Akmal berjaya membentuk pasukan tersebut tampil lebih baik serta kreatif mengatur rencana serangan.
Cuma sedikit mengecewakan mereka masih tidak memiliki sentuhan pemusnah yang sempurna di hadapan gawang gol walaupun banyak peluang-peluang dihasilkan.
Kehadiran penyerang dari Brazil, Rodrigo Dias juga gagal memberikan impak terbaik selain beliau sebelum itu dihantui dengan isu kecederaan sehingga dirinya terlepas beraksi dalam beberapa perlawanan.
Aksi menentang Kedah sebelum ini pastinya menjadi sesuatu yang paling perit untuk dihadapi Akmal kerana mereka jelas lebih dominan sert mempunyai banyak momen terbaik untuk mendapatkan peluang jaringan.
Namun ketumpulan di posisi serangan menyaksikan Penang hanya menggigit jari untuk cuba melayakkan diri mereka ke pusingan separuh akhir Piala FA.
Pada pandangan anda siapa pemain tempatan serangan bakal dibawa pasukan itu pada pertengahan musim ini?