Penang dijangka tidak menghadapi begitu banyak kesukaran untuk menghadapi cabaran bakal diberikan oleh Selangor pada aksi Liga Super 2024/2025 hari ini dalam misi untuk mendapatkan tiga mata penuh.
Terdahulu, Penang boleh dikatakan masih lagi kemarau tanpa sebarang kemenangan selepas mengharungi tujuh perlawanan domestik, sebelum kejayaan buat pertama kali tahun ini diraih sewaktu bertemu Perak.
Kemenangan 2-0 tersebut diraih ketika mereka mengetepikan cabaran Perak di gelanggang lawan bersama corak permainan ditampilkan cukup menyakinkan.
Beralih kepada Selangor pula, pasukan ini dianggap mengalami masalah konsistensi dalam beberapa perlawanan terakhir diharungi sehingga menyebabkan mereka tewas dua kali berturut-turut kepada Kuala Lumpur City (KL City) dan Terengganu dalam saingan separuh akhir Piala FA.
Lebih mengejutkan, mereka juga mencipta kekalahan suku akhir pertama Piala FA lalu di tangan Kuching City selain menghadapi kesukaran untuk mengetepikan lawan tersebut di suku akhir kedua sebelum mara ke pusingan seterusnya.
Tampil dengan persiapan yang cukup menyakinkan pada pramusim, Selangor dianggap pada awalnya selaku pencabar terdekat untuk meraih kejuaraan Liga Super musim ini selain Johor Darul Ta’zim (JDT).
Namun konsistensi dipamerkan anak-anak buah Nidzam Jamil kini di atas padang mula menjadi pertikaian beberapa penyokong selain kualiti permainan juga tampak tidak begitu menyerlah.
Beraksi di laman sendiri malam ini, pastinya siri kebangkitan ingin ditagih dan Nidzam memiliki tugas sukar untuk menaikkan kembali moral pemain di atas padang pada aksi tersebut.
Menerusi rantaian pemain dimiliki, dijangka pengendali tersebut tidak akan membuat perubahan ketara dengan kemungkinan barisan kesebelasan utama lalu bakal dikekalkan.
Beralih kembali kepada Penang, menerusi momentum positif dipamerkan mereka pada aksi lalu sudah tentu Akmal Rizal Ahmad Rakhli enggan merosakannya dengan beberapa perubahan mungkin akan dibuat terutama membabitkan taktikal permainan.
Untuk senarai pemain import, kemungkinan besar Richmond Ankrah tidak dapat dibawa turun beraksi kerana beliau merupakan pemain pinjaman daripada The Red Giants buat Penang musim ini.
Kelibat Rodrigo, Neto, dan Rafael Vitor pastinya sangat ditagih untuk memperkukuhkan segala posisi pasukan tersebut demi menghadapi cabaran besar daripada tuan rumah.
Pada pandangan anda, adakah Penang mampu melakar kejutan pada aksi malam ini untuk mengetepikan cabaran Selangor?