Penang kini dilaporkan giat memburu para pemain baharu untuk persaingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 dalam misi mereka untuk kembali bangkit daripada aksi suram pada tahun lalu.
Musim lalu menyaksikan segalanya tampak tidak begitu menjadi buat Penang, walaupun ada rombakan besar dibuat pasukan tersebut, termasuk mendapatkan ramai para pemain import.
Namun untuk musim ini, laporan menyatakan Penang bakal menggunakan tiga pemain import sahaja dengan selebihnya bertumpukan kepada anak-anak tempatan untuk menguatkan pasukan.
Antara pemain tempatan bakal menyertai Penang merupakan salah seorang tonggak yang beraksi bersama skuad kebangsaan dalam saingan Piala Asia 2023 baru-baru ini di Qatar.
Ianya disahkan sendiri melalui pengendali Penang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang menyatakan pemain tersebut bersama beberapa tonggak berpengalaman Liga Super lain bakal mengukuhkan Penang musim hadapan.
Menurut Akmal, segalanya kini sudah lengkap daripada segi persiapan para pemain tempatan dan beliau mengakui tidak begitu banyak menggunakan tenaga import jika dibandingkan musim lalu.
“Saya tidak boleh dedahkan lagi sebab kita tunggu pengumuman rasmi tapi apa yang boleh saya kata, akan ada seorang pemain yang berada dalam skuad di Qatar (Piala Asia 2023) baru-baru ini.
“Kita akan bawa masuk lima pemain baharu, enam pemain dari skuad bawah 23 tahun Penang FC dan 14 pemain dari skuad yang lepas ini dikekalkan,” katanya menerusi laporan dikeluarkan sendiri oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Akmal juga mengakui tidak terburu-buru bagi menandatangani pemain import baharu dan kekal untuk hanya menggunakan tiga kuota sahaja terlebih dahulu.
“Kita sekarang dalam proses untuk mengenal pasti pemain import. Kita kekalkan Rafael Vitor dan dua lagi kita akan cari import baharu.
“Apa yang diputuskan oleh pihak pengurusan adalah tiga orang. Kita ada kekangan bajet yang harus kita ikut.
“Jadi kita akan kekal dengan tiga pemain pemain import buat masa sekarang dan adalah sesuatu yang baik untuk pemain muda pemain beraksi,” katanya lagi.
Akhir sekali, Akmal menyatakan pengumuman penuh untuk skuad Penang musim 2024/2025 berkemungkinan besar akan dinyatakan secara rasmi pada 20 Februari ini untuk menghadapi saingan akan datang.