Pemain dari Korea Selatan, Kang Seung Jo sah menjadi milik pasukan Pulau Pinang apabila Naib Presiden FAP, Azizudin Shariff memberitahu bekas pemain Gyeongnam FC itu secara rasmi sudah menandatangani kontrak bersama Penang.
Pemain berusia 31 tahun yang beraksi di posisi tengah itu dipilih apabila berjaya menambat hati ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan ketika perlawanan persahabatan antara Perlis di Stadium Batu Kawan, Khamis lalu.
Seung Jo sebelum ini pernah beraksi untuk pasukan liga korea, FC Seoul dan menjaringkan satu gol dalam saingan AFC Champions League pada tahun 2014. Beliau juga pernah beraksi untuk pasukan juara liga utama Korea, Jeonbuk Hyundai Motors pada tahun 2010.
Malah pemain itu sempat membantu Gyeongnam FC menjuarai liga divisyen 2 musim lepas dan pengalaman luas yang dimiliki oleh pemain itu pasti ditagih oleh pasukan Penang untuk mengetuai jentera tengah.
“Kita akui kesilapan lalu dalam memilih pemain import, ia pasti tidak akan berulang selain mengharapkan satu sinar baru dalam skuad Harimau Kumbang tahun ini,” kata Azizudin kepada Berita Harian.
“Apa yang lebih berharga, kehadirannya amat disenangi semua pemain tempatan malah lebih bersikap rendah diri dan turut disenangi pihak pengurusan FAP dan peminat sendiri.
Pulau Pinang kini mempunyai tiga pemain import selepas Sanna Nyasi dan Ugochukwu Ukah dipilih menyertai pasukan tahun ini.
“Kita mendoakan tahun ini rezeki akan lebih berpihak kepada Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana yang akan bermula Febuari depan.
“Segala persiapan pasukan kini sedang giat dilakukan Zainal Abidin termasuk gandingan pemain senior dan baru diperkuatkan dalam skuad Harimau Kumbang,” katanya.
Sementara itu pengendali pasukan itu, Zainal Abidin Hassan berterima kasih kepada pihak Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) kerana memberi kuasa penuh kepadanya untuk mencari pemain dan membentuk pasukan Harimau Kumbang lebih mantap dari sebelumnya.
“Saya amat berterima kasih di atas kepercayaan diberikan selain turut berbangga apabila bekas pemain JDT dan Melaka United, Mohd Azinee Taib sah kembali beraksi bersama Pulau Pinang.
“Bukan itu sahaja, beberapa pemain dari pasukan lain termasuk Jasazrin Jamaludin (Perak) dan Raimi Md Nor (Selangor) turut sah bersama skuad Harimau Kumbang,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.