Penang FC Uji Formasi Taktikal Baharu Untuk Pusingan Kedua Liga Super?

formasi taktikal menyerang penang fc

Dalam perlawanan persahabatan menentang Kelantan United FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV baru-baru ini, Penang FC dilihat menguji formasi taktikal baharu.

Jika sebelum ini, skuad kendalian Tomas Trucha dilihat mempertaruhkan formasi 4-1-4-1 dengan meletakkan penyerang tunggal di hadapan iaitu penjaring terbanyak mereka, Casagrande yang setakat ini telah meledak tujuh gol dalam 12 penampilan.

Dalam formasi ini, Tomas Trucha kerap kali menggunakan kekuatan di jentera sayap untuk membuat lambakan hantaran lintang ke dalam kotak penalti untuk mencari Casagrande atau arkitek, Endrick dos Santos dalam usaha merobek gawang lawan.

Akibat hanya menggunakan corak yang sama, permainan Harimau Kumbang sudah mula dibaca lawan. Natijahnya, mereka tumbang dua kali dalam dua aksi terakhir liga sebelum rehat, 1-3 kepada KL City FC dan 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Penang FC 2021 4-1-4-1

 

Berdasarkan penampilan, di atas merupakan kesebelasan utama Penang FC selepas 13 aksi pertama Liga Super. Mereka kehilangan beberapa tonggak dalam tempoh agak lama sebelum liga berehat iaitu Sam Somerville, Ryuji Utomo dan Khairu Azrin Khazali.

Untuk posisi penjaga gol dan bek tengah, Tomas Trucha tidak menghadapi sebarang masalah mendapat pengganti setara iaitu Bryan See yang beraksi baik di gawang, sementara Abdul Latiff Suhaimi juga tidak kekok mengambil alih posisi Ryuji Utomo.

Beliau gagal mendapatkan pengganti setara buat Khairu Azrin sepanjang kehilangan pemain tengah itu dalam tiga aksi terakhir. Kali terakhir Khairu Azrin beraksi adalah ketika menang 3-0 ke atas Sri Pahang yang mana beliau beraksi hampir 40 minit.

Tanpa Khairu Azrin dan corak permainan yang hampir sama telah ditampilkan saban minggu, Penang FC dimalukan KL City dan JDT dengan kekalahan besar. Dua aksi itu menyaksikan kali pertama mereka dibolosi lebih dua gol dalam satu perlawanan.

Penang FC merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan United dalam aksi pemanas badan yang menyaksikan satu perubahan menarik telah berlaku. Tomas Trucha telah menggunakan formasi taktikal lain iaitu 3-5-2 yang meletakkan tiga bek tengah.

Khairul Akmal Rokisham, Syazwan Zaipol dan Ryuji Utomo dilihat membentuk barisan bek bertiga buat mereka dengan dua bek sayap, Quentin Cheng dan Azwan Aripin diarahkan untuk bermain lebih ke atas, ketika Penang FC dalam fasa menyerang.

Hasilnya, kedua-dua pemain itu berjaya meledak gol untuk Harimau Kumbang. Kedua-duanya boleh dikatakan bek sayap yang explosive kerana keupayaan mereka untuk menyelinap masuk ke kubu lawan dan juga membuat percubaan ke gawang.

Formasi ini juga membantu Penang FC ketika dalam fasa bertahan iaitu mereka akan membentuk lima pertahanan dengan Quentin Cheng dan Azwan Aripin akan kembali ke posisi bek sisi. Ini bagi mengukuhkan benteng jika ‘kehilangan’ Khairu Azrin.

formasi bertahan penang fc
Formasi Penang FC ketika bertahan
Formasi Penang FC ketika menyerang. Dua bek sayap ditolak naik ke atas.

Selain itu, seperkara yang menarik perhatian juga, Penang FC kembali tampil dengan gaya permainan yang membawa mereka menjuarai Liga Premier 2020 dan layak ke Liga Super musim ini, iaitu pergerakan pantas pemain dan bola, seakan-akan tiki-taka.

Jika dilihat dalam beberapa aksi sebelum liga berehat, mereka sudah mula mengubah gaya permainan terutamanya ketika meraih kemenangan besar ke atas Sri Pahang.

Dalam lima aksi pemanas badan, boleh digambarkan Penang FC sedang membentuk kesefahaman menggunakan formasi taktikal ini. Selain kemenangan ke atas Kelantan United, mereka juga menang ke atas Terengganu FC (2-0) dan PDRM (1-0).

Mereka tewas kepada dua pasukan simpanan, Terengganu FC II (1-2) dan Perak FC II (0-2), yang wajar dilihat semula mengapa ia boleh berlaku. Ini kerana, jika mereka gagal beraksi baik dengan pasukan yang ‘lemah’, ia akan menyukarkan mereka nanti.

Prestasi Penang FC dilihat sangat baik apabila berada di kedudukan ke-4 dengan mengumpul 22 mata, empat mata di belakang Kedah Darul Aman FC yang bakal menjadi lawan mereka apabila liga kembali bersambung pada 24 Julai depan.

Baca lagi artikel lain mengenai Penang FC:

Apa Rahsianya Perubahan Permainan Penang FC Ketika Tundukkan Sri Pahang?

Khairu Azrin: Pemain Serba Boleh Yang Menjadi Kunci Kestabilan Penang

Casagrande Atau Sheriddin Boboev, Penang FC Perlu Buat Keputusan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN