Peminat Tak Puas Hati Cristiano Ronaldo Dinobatkan Sebagai Pemain Terbaik Bulan April

Para peminat bengang melihat Cristiano Ronaldo dinamakan sebagai penerima anugerah ‘Pemain Terbaik Bulanan’ pada bulan April kerana merasakan bintang Portugal itu tak layak untuk dipilih.

Pemain berusia 37 tahun itu berjaya memenangi anugerah tersebut buat kali kedua musim ini dengan beliau turut menerima anugerah sama pada September tahun lalu.

Walaupun Manchester United tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka pada ketika ini, namun Cristiano Ronaldo tetap konsisten menjadi peledak gol utama mereka.

Pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu berjaya menjaringkan lima gol dari empat perlawanan dalam saingan Premier League bulan lalu, untuk membantu beliau menerima anugerah pemain terbaik bulanan itu.

Lima gol yang berjaya beliau hasilkan itu termasuklah hat-trick yang mampu beliau catatkan ketika membantu Man Utd menewaskan Norwich City 3-1 di Old Trafford.

Walau bagaimanapun, para penyokong pasukan seteru merasakan sangat tidak adil untuk Cristiano Ronaldo memenangi anugerah itu kerana ramai lagi pemain lain yang lebih layak.

Segelintir dari para peminat turut mendakwa yang Ronaldo memenangi anugerah itu hanya kerana beliau mempunyai nama yang besar.

Para peminat percaya yang Kevin De Bruyne dan Son Heung-min merupakan pemain yang lebih layak untuk menerima anugerah tersebut.

Berikut merupakan antara komen-komen dari para peminat yang merasakan Cristiano Ronaldo tak layak untuk memenangi anugerah pemain terbaik bulanan itu.

“Hanya dengan menjaringkan gol tap-in dan penalti sudah cukup untuk bantu dia memenangi anugerah itu.”

“Anugerah itu sudah tidak ada prestijnya lagi selepas Ronaldo yang tak sepatutnya menang dipilih sebagai pemenang.”

“Kalau saya jadi Ronaldo saya malu untuk terima anugerah itu, ia jelas sekali bukan hak dia.”

“Kalau macam ini, saya rasa lebih baik semua anugerah individu yang ada kita beri sahaja kepada Ronaldo.”

Son Heung-min sebenarnya turut cemerlang mempamerkan aksi persembahan yang menarik sepanjang bulan April lalu untuk Tottenham Hotspur.

Pemain kebangsaan Korea Selatan itu berjaya menjaringkan empat gol pada bulan lalu, termasuk hat-trick ketika membantu Spurs menewaskan Aston Villa 4-0.

Kevin De Bruyne sementara itu berjaya memimpin Manchester City untuk mengukuhkan kedudukan mereka sebagai calon juara saingan Premier League musim ini.

Pemain kebangsaan Belgium itu berjaya menjaringkan dua gol dan turut mencatatkan tiga assists sepanjang bulan April lalu untuk Manchester City.

Empat gol itu termasuklah gol ketika aksi bertemu pencabar utama mereka, Liverpool ketika aksi terikat 2-2 di Anfield.

Cristiano Ronaldo tetap mengharungi musim cemerlang walau United sedang huru-hara

Cristiano Ronaldo tidak dinafikan lagi sememangnya sedang menikmati musim yang sangat cemerlang secara individu.

Legenda Portugal itu berjaya menjaringkan 24 gol dari 38 penampilan dalam semua pertandingan untuk Red Devils musim ini.

Ronaldo turut berjaya menjaringkan 18 gol dalam saingan Premier League musim ini, seterusnya meletakkan beliau di kedudukan ketiga dalam senarai penjaring terbanyak di belakang Mohamed Salah (22 gol) dan Son Heung-min (20 gol).

Walaupun rekod gol beliau boleh dianggap cemerlang, namun beliau tetap gagal untuk membantu United mengakhiri musim ini dengan baik.

Skuad kendalian Ralf Rangnick itu jelas sekali mengakhiri musim ini dengan rekod yang sangat mengecewakan dan mereka juga turut gagal untuk layak ke saingan Champions League musim hadapan.

Selepas kekalahan memalukan 4-0 di tangan Brighton minggu lalu, harapan untuk Man Utd beraksi di pentas saingan Champions League turut terkubur.

Mereka bahkan masih belum menjamin tempat untuk layak beraksi di pentas saingan UEFA Europa League dek kerana West Ham United sedang berusaha untuk merebut tempat tersebut.

Leave a Reply