Penyokong Bola Sepak Malaysia Perlu Buat Keputusan: Kebanggaan Negeri atau Negara?

Pada tengahari 29 April 2006, Wayne Rooney diusung keluar dari padang Stamford Bridge ketika perlawanan masih berbaki 15 minit.

Selepas berlanggar dengan Paolo Ferreira, Rooney kelihatan menjarit kesakitan sambil memegang kaki kanannya; di kawasan sama yang beliau cedera ketika menentang Portugal semasa EURO 2004.

Manchester United’s Wayne Rooney is challenged by Paulo Ferreira leading to him having to come off injured. (Photo by Tony Marshall – EMPICS/PA Images via Getty Images)

Rooney terpaksa diusung keluar dari padang. Pengurus England pada ketika itu, Sven Goran-Eriksson melihat perkembangan itu dengan penuh risau. Kempen England dalam Piala Dunia 2006 nampak seperti berakhir ketika kejohanan belum pun bermula.

Jauh di seksyen tempat duduk penyokong pasukan pelawat, penyokong Manchester United -dengan ironiknya – mula menyanyi “There goes your World Cup”. Ketika ditemuramah oleh media UK tentang mengapa mereka menyanyikan chant tersebut, pengerusi Independent Manchester United Supporters Association menjawab:

“Saya lebih rela tengok Manchester United menang Worthington Cup daripada England menang Piala Dunia.”

Cinta kelab vs cinta negara

Di UK, sentimen kecintaan kepada pasukan kebangsaan bukanlah satu keutamaan buat penyokong kelab-kelab besar di England.

Pengerusi Independent Manchester United Supporters Association, Mark Longdon memberitahu The Guardian dalam satu artikel pada tahun 2006:

“Anda akan jarang jumpa penyokong kelab besar England di perlawanan skuad kebangsaan. Hanya penyokong kelab kecil seperti Bolton dan Manchester City yang rajin pergi tengok England main. Sebab itulah satu-satunya peluang mereka pergi ke Eropah dan merasa keterujaannya.”

Sentimen tersebut turut disokong oleh penulis, Ben Dimech dari Red Action (sebuah majalah terbitan penyokong Arsenal):

“Pergi tengok England main di Piala Dunia adalah satu-satunya peluang penyokong kelab kecil UK untuk mengikuti aksi pemain-pemain bertaraf dunia.”

Sport, Football, FIFA World Cup, Frankfurt, 10th June 2006, England 1 v Paraguay 0, England’s Cross of St, George flag out in force in the stadium showing the massive support from the fans (Photo by Bob Thomas/Getty Images)

Di peringkat pengurusan kelab, berita Sir Alex Ferguson menghalang Sven Goran-Eriksson dan staf England FA melawat Wayne Rooney yang dirawat di hospital sebelum kempen Piala Dunia 2006, adalah satu lagi kes kepentingan kelab melebihi kepentingan negara.

Persoalannya; adakah kita di Malaysia sedang menuju ke arah itu?

Bola sepak Malaysia semakin berpuak

Kebelakangan ini api isu bola sepak skuad negeri vs bola sepak skuad kebangsaan kembali marak selepas pengesahan perlantikan Tunku Mahkota Johor sebagai presiden FAM.

Sejurus selepas perlantikan TMJ sebagai presiden FAM, polarisasi antara cinta skuad negeri dengan cinta skuad kebangsaan semakin menebal. Penyokong bola sepak tempatan semakin berpuak-puak. Dan mereka mempunyai sebab kukuh untuk berbuat sedemikian.

Siapa boleh lupa post Johor Southern Tiger yang memuat naik gambar Aidil Zafuan di bawah ketika skuad kebangsaan gagal di AFF Suzuki 2016?

Jadi apabila Aidil, S. Kunanlan, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal mengumumkan u-turn daripada keputusan bersara tugasan skuad kebangsaan, siapa boleh salahkan Khalid Ali, Datuk Santokh Singh dan sebahagian penyokong bola sepak tempatan untuk memanggil mereka ‘pengkhianat’?

Isu bertambah buruk apabila bekas ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe pula dimasukkan ke setup skuad kebangsaan ketika Kedah sedang berada di puncak liga.

Sumber: Sinar Harian

Jika sebelum ini kita hanya ‘berpuak’ menyokong pasukan negeri tetapi bersatu dalam soal menyokong skuad kebangsaan, kini kita seperti sudah ‘berpuak’ dengan negeri masing-masing DAN berpuak dalam soal skuad kebangsaan.

Kini baru kita sedar; bola sepak Malaysia tak boleh dipulihkan dengan hanya sekadar merombak FAM.

Apa keutamaan kita?

Ketika ini penyokong bola sepak tempatan perlu membuat keputusan penting; adakah kita lebih berminat menyaksikan kegemilangan pasukan bola sepak negeri ATAU membantu pasukan negara mencapai potensi sebenarnya?

Adakah kita lebih rela melihat pasukan negeri kita menjadi jaguh dalam kancah Liga Super atau melihat pasukan kebangsaan kita mendaki naik satu demi satu tangga ranking dunia FIFA?

Adakah kita mahu mengikut kiblat penyokong kelab besar England yang mementingkan prestasi kelab atau kiblat penyokong bola sepak Amerika Selatan yang mementingkan prestasi skuad kebangsaan?

Kenapa kita perlu memilih negeri vs negara? Kenapa tak boleh tengok kedua-duanya berjaya?

Anda mungkin bertanya soalan di atas. Tetapi dalam senario di Malaysia ketika ini, ia nampak sukar. Ini kerana negara kita kekurangan jurulatih dan pemain berbakat. Namakan 5 jurulatih bola sepak muda tempatan yang setaraf Tan Cheng Hoe?

Photo by Dzulfadlil Azim / www.asiana.my

Namakan pula 5 pemain tengah box-to-box tempatan sebaik Safiq Rahim?

Photo by rizanizam/www.asiana.my

Jika kita mempunyai 5 jurulatih bola sepak muda yang setaraf Tan Cheng Hoe, mungkin penyokong Kedah boleh melihat pasukan negeri mereka menguasai Liga Super DAN menyaksikan skuad kebangsaan bermain sebaik pasukan negeri mereka. Maaf Kedah, Malaysia lebih memerlukan Tan Cheng Hoe.

Jika kita mempunyai 5 pemain tengah box-to-box tempatan sebaik Safiq Rahim, mungkin Mario Gomez boleh berkata tidak kepada keputusan u-turn jeneral tengah JDT itu. Maaf Khalid Ali dan Datuk Santokh Singh, bola sepak negara kita sedang mengalami kemarau bakat yang kronik sehinggakan kita tiada pilihan lain.

Kepada Datuk Santokh Singh, jangan lupa. Datuk juga pernah bersara dari skuad kebangsaan ketika negara memerlukan anda (rujuk kepilan akhbar di bawah).

(1/3)
(2/3)
(3/3)

Rumusan

Dengan kurangnya jurulatih dan pemain tempatan berbakat, nampak gayanya kita terpaksa memilih salah satu: kebanggaan negeri vs kebanggaan negara. Dan berdasarkan polisi presiden baru FAM sekarang, kita sedang menuju ke arah memperkasakan skuad kebangsaan.

Ini bermakna lebih ramai jurulatih tempatan yang bagus-bagus akan dimasukkan ke setup skuad kebangsaan. Lebih ramai pemain tempatan berbakat (yang mungkin kita tak suka) akan diserapkan semula ke skuad kebangsaan. Lebih banyak polisi (yang drastik dan tak menyenangkan) akan dilaksanakan demi kemajuan skuad kebangsaan.

Timbul juga khabar angin dari utara yang mengatakan kemasukan Tan Cheng Hoe ke pengurusan skuad kebangsaan hanyalah ‘persinggahan sementara’ sebelum akhirnya menjadi ketua jurulatih JDT. Tetapi demi nama Malaysia, harapnya khabar angin ini kekal sekadar khabar angin.

Hari TMJ terpilih sebagai presiden FAM menandakan bermulanya hari ‘tidak selesa’ untuk semua pemegang taruh bola sepak Malaysia – dari penyokong, pemain, pentadbir hinggalah jurulatih.

‘Ketidakselesaan’ ini menghadirkan banyak rungutan. Daripada penyokong, pemain, pentadbir hinggalah jurulatih. Tetapi selagi ia membuahkan hasil dan kejayaan dinikmati, rungutan ini akan menjadi masalah kecil.

Ibarat mengetahui tabiat isteri anda suka membeli-belah.

Ia membuatkan kita tak selesa. Tetapi selagi si dia menjalankan tugasnya sebagai isteri dengan baik, kita boleh berkompromi.

Jika tidak, kita perlu mencari Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden yang baru pada Kongres FAM akan datang. Dan berdasarkan situasi sekarang, ia bukan kerja senang.

Nota editor: Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tak mewakili pendapat Semuanya BOLA sebagai satu organisasi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN