Saingan English Premier League (EPL) dijangka bakal hadir dengan perubahan serba baharu pada musim hadapan dalam usaha untuk mendekatkan suasana perlawanan sebenar bersama peminat.
Namun, perubahan itu dianggap sangat mengarut dalam kalangan peminat serta ada yang menyifatkan ianya tidak perlu dibuat kerana bakal merosakkan suasana daripada menjadikannya lebih hebat.
Peraturan apa bakal diperkenalkan buat bola sepak di England bagi saingan hadapan sehingga mencetuskan rasa kurang senang peminat?
Menerusi perkongsian dibuat oleh Sam C yang juga merupakan salah seorang wartawan sukan terkenal di media sosial X, perubahan baharu itu bakal merangkumi tiga perkara buat semua kelab bertanding di pentas tersebut.
BREAKING: Understand the following is set to be introduced by the Premier League are set to introduce the following next season – rules set for all PL clubs.
– Half-time interview with player or coach
– Interviews for players who are subbed off
– Dressing room broadcasts…
— Sam C (@SamC_reports) October 11, 2024
“Difahamkan perkara berikut akan diperkenalkan oleh Liga Perdana untuk musim depan – peraturan yang ditetapkan untuk semua kelab Liga Perdana.
“Temu bual separuh masa bersama pemain atau jurulatih, temu bual bersama pemain yang telah digantikan, serta siaran langsung dari bilik persalinan kelab,” jelas kenyataan beliau di media sosial X.
Selain itu, sesi temu bual itu juga dikatakan boleh dibuat dengan membabitkan pembantu pengurus kelab serta setiap kelab boleh memilih salah satu daripada tiga peraturan tersebut setiap minggu.
“Butiran lanjut menyaksikan temu bual itu boleh dilakukan bersama penolong pengurus dan setiap kelab perlu memilih salah satu daripada tiga pilihan di atas setiap minggu,” ujar beliau lagi.
Jika dilihat pada peraturan tersebut, ianya sudah dilakukan dalam saingan National Football League (NFL) di Amerika Syarikat menerusi pendedahan secara siaran langsung dengan lebih dekat kepada peminat.
Adakah ia mendapat maklum balas terbaik daripada pemain serta pengurusan di sana mengenai peraturan tersebut?
Sebenarnya para pemain di saingan NFL cukup benci akan peraturan tersebut dengan kamera boleh menerjah masuk sehingga ke bilik persalinan dan membuka pendedahan tidak sepatutnya kepada umum.
Malah di media sosial juga menyaksikan para peminat sendiri tidak berpuas hati dan menyifatkan ia sebagai sesuatu cukup mengarut untuk diperkenalkan pada saingan musim hadapan.
“Lagi perkara mengarut yang didorong oleh Amerika. Siapa sebenarnya yang mahukan ini selain penyiar? Bersama dengan rakaman pengurus, peminat secara rawak, selebriti, dan ulang tayang perlawanan yang tidak henti-henti semasa ia sedang berlangsung, menyebabkan ramai terlepas detik penting hanya untuk memuaskan hati penerbit yang dilatih oleh media tetapi tidak tahu apa-apa tentang aksi di atas padang, malah menganggap ia sebagai seni kreatif,” selar Mark di ruangan komen.
Selain itu, pelbagai lagi kritikan diberi dengan ramai tidak bersetuju akan peraturan tersebut diteruskan pada saingan hadapan.
Daripada seluruh inovasi yang dicanang oleh pengelola liga tersebut, adakah hanya ini perubahan mampu dilakukan mereka?