Seorang peminat setia Manchester United telah mengabadikan cintanya kepada kelab tersebut walaupun beliau sudah tiada di dunia ini.
William Moore merupakan seorang warga emas berusia 80 tahun yang meninggal dunia pada bulan Disember tahun lalu selepas mengalami masalah tumor di otaknya.
Impian tercapai
Sebelum beliau pergi, Moore ada satu impian yang hendak dicapai.
Impiannya adalah ingin menyaksikan Manchester United menentang Crystal Palace dalam aksi FA Cup di Wembley musim lalu.
Namun beliau dan keluarganya mengalami kesukaran untuk ke Wembley dan Moore hampir pasti terpaksa melupakan hajatnya itu.
Namun muncul penyelamat iaitu Luke Shaw. Pemain pertahanan Manchester United itu memberikan tiket perlawanan akhir beliau kepada Moore untuk pergi menonton pasukan kesayangannya beraksi di Wembley.
Shaw melakukan sedemikian selepas berita mengenai Moore mendapat perhatian beliau.
Nasib ternyata menyebelahi Moore apabila berjaya ke Wembley dan lebih manis dapat menyaksikan pasukan kesayangannya itu menjuarai piala klasik itu.
Amanat terakhir
Moore turut mempunyai impian selepas beliau tiada di dunia ini dan impian beliau adalah untuk abu mayatnya ditanam di Old Trafford.
Nampak pelik bukan tapi itulah hajatnya.
Abu mayat Moore kemudiannya ditanam oleh ahli keluarga beliau di tepi padang Old Trafford pada minggu lepas.
“Ia adalah satu tindakan yang cukup baik dari Luke Shaw. Jika kisah ayah saya tidak diketahui oleh media, saya tak rasa impian ayah saya dapat direalisasikan,” kata anak perempuannya.
“Saya menabur abu mayat kedua ibu bapa kami di padang Old Trafford kerana ibu bapa saya adalah peminat tegar Manchester United.”
“Mereka mahu cinta mereka terhadap kelab itu kekal selamanya, Manchester United adalah kelab yang cukup mengagumkan.”
Baca juga: Everton Bakal Bina Stadium Baharu, Akan Tinggalkan Goodison Park Tak Lama Lagi