Salah satu kelab yang beraksi dalam saingan A1 iaitu PIB Shah Alam terus dihimpit dengan kemelut tunggakan gaji dengan laporan terbaharu menyatakan pemilik pasukan itu sepi tanpa dapat dihubungi.
Menerusi perkongsian dibuat kepada kami, pasukan tersebut sudah mengalami tunggakan gaji sejak enam bulan lalu dan ianya memberi kesan cukup mendalam kepada prestasi semasa mereka.
Malah, sumber tersebut juga menyatakan kepada kami pemilik pasukan itu sepi tanpa sebarang berita dan masih tidak dapat dihubungi sehingga kini untuk tuntutan gaji mereka.
“Dah nak masuk 6 bulan tak bayar gaji, lebih menyedihkan pemilik kelab ni terus tak dapat dihubungi sepi tanpa sebarang berita. Sebelum ni pasukan ni dah pernah viral pasal bermain tak cukup pemain,” kongsi sumber tersebut.
Untuk rekod, PIB Shah Alam sebelum ini turut mengalami masalah yang menggemparkan dunia bola sepak Malaysia apabila mereka turun beraksi tanpa pemain mencukupi.
Perkongsian gambar dibuat mereka menerusi media sosial rasmi itu jelas menimbulkan pelbagai persoalan sehingga ada pendedahan dibuat PIB Shah Alam turut terpalit isu tunggakan gaji.
Menurut Ketua jurulatih PIB Shah Alam iaitu Muhamad Azrin Mohamed ketika itu, isu kewangan menjadi punca mengapa pemain tidak dapat hadir ke perlawanan rasmi.
Jelas Azrin, situasi yang melanda menyaksikan beliau tidak dapat memaksa para pemain untuk menjalani sesi latihan ketika itu sebagai persediaan sebelum menghadapi aksi seterusnya.
“Sekarang ini sudah terpaksa pakai duit sendiri untuk urusan pasukan. Pemain nak datang pun perlukan duit minyak dan semua berada dalam tekanan. Kebanyakan pemain adalah sepenuh masa, tiada kerja lain, itu yang menyebabkan lagi kritikal.
“Buat masa ini saya bagi peluang untuk pemain cari rezeki sendiri, cari duit dulu dan kalau ada perlawanan pada Sabtu, kami akan berlatih Rabu, Khamis dan Jumaat.
“Pemain pun nak hidup, nak makan, jadi kita lepaskan mereka buat kerja apa-apa dulu dan datang dua atau tiga hari sebelum perlawanan, itu pun tak penuh.
“Kalau setakat satu atau dua bulan (gaji tertunggak) mungkin masih boleh bertahan tapi ini boleh dikatakan sudah tahap maksimum. Kadang-kadang kita terpaksa hubungi setiap pemain tanya siapa boleh main dan kita tak boleh paksa mereka,” kata beliau sebelum itu menerusi petikan Harian Metro.
Menerusi permasalahan yang melanda ini, sudah tentu kehadiran pemilik kelab tersebut dianggap sangat penting untuk sekurangnya bersua muka bersama kejurulatihan serta pemain bagi menjernihkan kembali atau memberi gambaran lebih jelas mengenai situasi pasukan dan tidak terus menyepi.
Pandangan anda?