Pemilik Kedah Darul Aman (Kedah), Tan Sri Dr. Daud Bin Bakar bersama pengurusan kelab tampil menziarahi keluarga Allahyarham Danish Hakim yang sebelum itu meninggal dunia sebelum aksi separuh akhir pertama Piala FA berlangsung.
Terdahulu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada hari semalam sebelum perlawanan membabitkan antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim berlangsung di Stadium Darul Aman (SDA).
“Salam Takziah buat keluarga penyokong setia Sang Kenari, atas pemergian Allahyarham Muhammad Danish Hakim Bin Mihammad Zahir yang menghembuskan nafas terakhir ketika menantikan sepakmula perlawanan semalam di Stadium Darul Aman.
“Danish Hakim antara penyokong yang kerap hadir ke stadium dan berasal dari Lorong Bersatu, Anak Bukit.
“Kehilangan seorang penyokong setia ini ketika bersemangat untuk menyokong pasukan akan terus dikenang dan semoga roh arwah dicucuri rahmat dan dipermudahkan. Sedekahkan Al-Fatihah buat beliau,” jelas kenyataan berkenaan semalam.
Hari ini, Dr. Daud bersama pengurusan kelab hadir menziarahi keluarga Allahyarham serta turut memberi sumbangan buat mereka sebagai tanda ingatan atas pengorbanan Danish selama ini sebagai penyokong setia Kedah.
“Dalam pertemuan petang tadi, kedua-ibu bapa, dan adik beradik Danish masih terkejut dan sedih dengan pemergiannya. Ketika kejadian berlaku Danish yang selalunya menyaksikan perlawanan tersebut dengan ayahnya, hanya bersama adiknya 15 tahun hadir ke Stadium Darul Aman semalam.
“Selain bertanya khabar, ibunya turut berkongsi hasrat adik Danish sendiri yang pernah berseloroh untuk meninggal dunia pada hari Jumaat.
“Kejadian semalam walaupun pahit buat ibunya, tertunai hasrat seorang anak istimewa ini (Danish berstatus OKU). Karekter Danish yang disenangi ramai turut menjadi anak didik kesayangan guru-gurunya di sekolah.
“Danish, 18 tahun merupakan pelajar Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Alor Merah.
“Di akhir sesi lawatan, KDA FC menyampaikan sumbangan sebagai tanda ingatan buat pengorbanan Danish dan keluarganya dalam menyokong pasukan Sang Kenari,” ulas kenyataan tersebut sebentar tadi.
Kami di Semuanya BOLA mendoakan supaya Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan pengorbanan Danish sebelum itu sudah tentu menjadi pembakar semangat buat Kedah untuk terus kuat selepas ini.