Misteri mengenai tarikh pelancaran jersi Kedah Darul Aman (Kedah) akhirnya sudah pun diketahui ramai, apabila pemilik kelab tersebut iaitu Tan Sri Dr. Daud Bakar telah mengumumkannya sebentar tadi.
Terdahulu, Kedah menjadi satu-satunya pasukan musim ini dalam saingan Liga Super musim 2024/2025 yang masih belum mengumumkan jersi baharu mereka biarpun persaingan telah pun berlangsung.
Malah, mereka hanya mengenakan jersi latihan sahaja sepanjang mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) jika dibandingkan kelab-kelab lain.
Ianya rentetan pasukan tersebut mengalami isu kewangan yang sangat parah semenjak penghujung musim lalu dan dibawa sehingga kini.
Selain isu jersi, pasukan tersebut juga masih belum dapat memuktamadkan penaja utama mereka sehingga kini sehingga Dr Daud menyatakan kini mereka sedang menilai beberapa tajaan baharu akan dibawa masuk.
Berkenaan jersi, Sang Kenari dilaporkan bakal mengumumkannya pada 25 Julai ini pada jam 10 malam melalui siaran digital sahaja tanpa sebarang majlis bersama para peminat seperti tahun lalu.
Menurut Dr Daud, proses jersi tersebut masih lagi belum selesai dan kini berada di luar negara sebelum ia bakal diumumkan kelak pada 25 Julai nanti menerusi siaran digital.
Pastinya perkara tersebut sedikit sebanyak melegakan hati para peminat Sang Kenari yang sebelum itu sering dirundung isu malang terutama sekali membabitkan perkembangan kewangan pasukan kesayangan mereka.
Kedah sebenarnya masih lagi menjadi antara pasukan pencabar terbaik seperti tahun lalu jika diikutkan daripada segi prestasi, cuma isu kewangan sedikit merencatkan persiapan serta nama pasukan itu.
Malah, mereka juga berjaya mencipta momentum dua kemenangan berturut-turut ketika di pentas domestik dengan menewaskan Penang dalam saingan Liga Super serta Piala FA.
Untuk aksi seterusnya, Sang Kenari bakal melayan kunjungan Penang di Stadium Darul Aman bagi perlawanan kedua suku akhir Piala FA dalam usaha mereka untuk cuba melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Bawah kendalian Nafuzi Zain, beberapa pemain seperti penyerang Harimau Malaya iaitu Syafiq Ahmad berjaya mempamerkan kualiti permainan cukup menyakinkan di atas padang.
Menerusi perkhabaran positif itu, pastinya moral pemain dan kejurulatihan juga semakin meningkat untuk memberikan segalanya terbaik pada aksi akan datang di atas padang.