Kedah Darul Aman (KDA) bakal tampil dengan serba baharu pada musim depan selepas beberapa rombakan telah dibuat ketika ini dalam usaha untuk memantapkan pasukan.
Menerusi rombakan yang dibuat, beberapa pemain tempatan serta semua tonggak import musim ini sah tidak disambung kontrak mereka untuk saingan musim hadapan.
KDA juga telah pun menandatangani kontrak jurulatih baharu mereka iaitu Nafuzi Zain untuk membawa arus perubahan baharu dari segi taktikal, selepas pengendali tersebut cemerlang sebelum ini bersama Terengganu.
Terbaharu, pasukan ini sah sudah menandatangani kontrak pemain import baharu untuk memperkukuhkan jentera tengah iaiti Amirbek Juraboev yang berasal dari Tajikistan.
Menurut KDA, pemain tersebut bakal mengisi kuota pemain import Asia dan berasal dari Dushanbe, Tajikistan dengan sebelum ini pernah mewakili United FC di Filipina.
“Selamat datang Amirbek Jurobaev ke bumi Jelapang Padi! Pemain import pertama di umum kan ini bakal mengisi kuota Asia pasukan Sang Kenari berusia 26 tahun berasal dari Dushanbe, Tajikistan,” jelas salah satu petikan daripada kenyataan KDA.
Setakat ini, status pemain import baharu KDA yang lain masih lagi tidak diketahui dan semalam, pemilik KDA iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar telah pun memberi bayangan mengenai perkara tersebut.
Jelas beliau, beliau ketika ini sedang memantau beberapa seorang pemain dari Maghribi yang pernah bermain di Qatar untuk dibawa sertai KDA.
Qatar ketika ini sedang hangat dengan kejohanan Piala Dunia dan Maghribi tampil selaku antara negara paling menyerlah dalam saingan tersebut menerusi kejutan dilakar mereka.
Pasukan tersebut juga berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir selepas mencatat kemenangan 1-0 untuk mengatasi Portugal.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan beliau lagi, pemain tersebut ketika ini sedang dipantau dari segi kecergasan serta perlu dinilai sebaik mungkin jika sesuai atau tidak untuk menyertai KDA.
“Sejak dua bulan yang lepas, saya sudah cuba menjejaki seorang pemain Morocco yang pernah bermain di Qatar.
“Ada beberapa proses yang saya patut buat untuk pastikan pemain ini benar-benar fit dan layak bermain di Kedah. Saya memang rapat dengan rakan2 di Morocco yang mengendalikan beberapa akademi bola sepak di sana.
“Saya pun ada syarikat saya Amanie di Casablanca, Morocco bersama dengan rakan kongsi saya dari Morocco, seorang tokoh bisnes yang terkenal di sana,” jelas beliau.
Persoalannya kini, adakah pemain tersebut merupakan salah satu tonggak yang beraksi bersama Maghribi ketika ini dalam saingan Piala Dunia?
Jika benar, maka ia pastinya akan menjadi sesuatu yang sangat besar buat pasukan tersebut dan bakal menambah lebih sengat dalam rencana taktikal Nafuzi pada musim hadapan.
Walaupun begitu, pemilik kelab tersebut masih lagi belum menyatakan siapa pemain itu yang sedang dinilai untuk dibawa masuk menyertai KDA.