Pemilik Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Tan Sri Dr. Daud Bin Bakar tampil mengeluarkan kenyataan terbaharu mengenai prestasi semasa pasukan setelah mengharungi beberapa aksi di pentas domestik.
Apa tidaknya, Kedah sebelum ini telah pun mencipta kekalahan besar 0-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga kelab itu turut menjadi mangsa kritikan peminat di media sosial.
Menerusi perkongsian dibuat oleh media Kedah, jelas Dr. Daud tidak menyalahkan para pemain selepas beberapa faktor dikongsikan beliau selain turut berkongsikan status kewangan kelab yang dianggap menyedihkan.
Umum turut mengetahui Kedah menjadi antara kelab yang mengalami isu kewangan di pentas Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini sehingga beberapa isu turut timbul di belakang tabir.
“Salam hormat dan maaf kepada semua peminat dan penyokong Sang Kenari. Semoga semuanya berada dalam keadaan yang sihat dan dalam rahmat Allah SWT.
“Saya yakin kita semua masih sedih dengan kekalahan teruk pasukan kita dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini. Siapa yang tak sedih dengan keputusan ini?
“Saya yakin semua orang termasuk jurulatih, pemain, pengurusan dan staff KDA FC akan merasai keperitan dan kesedihan ini di samping peminat dan penyokong KDA FC.
“Kalau boleh, kita memang tidak mahu menanggung bebanan kekalahan ini. Kebetulan pula, kita ditakdirkan bertemu dengan pasukan JDT dalam tiga dari empat perlawanan terakhir dalam selang hanya beberapa minggu.
“Dalam masa yang sama, kita juga kena terus melihat dan bertapak ke hadapan. Kita tidak boleh jadi beku dan kaku. Para pemain telah memberi apa yang terbaik di atas padang dalam keadaan banyak masalah menekan mereka di luar padang.
“Mereka tertekan tetapi mereka terus berjuang. Tidak semua orang boleh lakukan apa yang mereka lakukan ini. Luar biasa.
“Kita semua sedia maklum pasukan Sang Kenari kita bermula awal musim ini dengan segala macam liku dan duri. Alhamdulillah, kita berjaya juga mendapat perlesenan untuk bertarung di musim ini dengan bajet yang dikurangkan hampir 40 peratus daripada bajet musim lepas.
“Bagi saya, biarlah Sang Kenari dapat terus berada di gelanggang perlawanan dan pertandingan daripada tersingkir keluar dari gelanggang. Sekarang, kita sedang berada dalam gelanggang ini dan kita juga sedang berjuang dengan penuh kekurangan dan kelemahan kita.
“Namun, kami kuat dengan sokongan, dokongan dan doa anda semua. Kami masih teruskan perjuangan walaupun dalam serba kekurangan hanya kerana anda semua; peminat; peminat, penyokong dan rakyat Kedah Darul Aman keseluruhannya.
“Buat masa ini, kami tiada pilihan melainkan meneruskan langkah yang kita mulakan sejak awal musim lagi dengan segala kudrat dan iradah yang ada (yang terhad) walaupun terbangnya mungkin agak rendah dan jalannya tempang.
“Kami percaya anda semua akan menolak kami terbang tinggi dan berlari laju semula. Kita adalah sebuah keluarga. Kami menunggu semua ahli keluarga menolak kami ke hadapan. Itulah erti hidup dalam sebuah keluarga.
“Saya harap tidak keterlaluan kalau saya ingin mengajak peminat dan penyokong berpijak di bumi yang nyata. Kita memang ingin mengapai bulan dan bintang tapi kita masih terbelit dengan pelbagai cabaran. InsyaAllah cabaran akan hilang satu hari ini,” jelas Dr. Daud di media sosial Kedah.
Bagi aksi seterusnya, Kedah bakal menghadapi cabaran Negeri Sembilan di pentas Liga Super dan ianya sudah tentu peluang buat mereka untuk cuba melakar kebangkitan.
Pandangan anda?