Pemilik Jersi Nombor 7 Baharu Man United Mampu Bawa Harapan Setinggi ‘Mount’ Kepada Penyokong

Mason Mount

Secara umumnya, jersi nombor 7  Manchester United sering dikaitkan dengan nama-nama besar yang pernah beraksi di Old Trafford seperti Eric Cantona, David Beckham, serta Cristiano Ronaldo.

Terbaharu, Mason Mount yang direkrut daripada Chelsea dengan tanda harga bernilai hampir £60 juta bakal meneruskan legasi pasukan dengan menggalas nombor jersi keramat tersebut.

Berdasarkan rekod terdahulu, jersi bernombor 7 United ini kerap digunakan oleh pemain yang bermain di posisi penyerang serta pemain sisi, namun Mount dilihat bakal membawa elemen yang segar berikutan posisi serta peranannya yang lebih terarah kepada pemain ‘nombor 8’.

Mount beraksi selama 45 minit dalam aksi persahabatan pra-musim United bertemu Leeds United awal minggu ini, dan ianya sedikit sebanyak mampu memberikan kita sedikit bayangan awal bagaimana beliau bakal digunakan dalam sistem taktikal pengurus Eric ten Hag.

Dalam analisis kali ini, kami akan berkongsikan bagaimana Mount mampu membawa nilai tambah buat pasukan yang diberi jolokan The Red Devils ini.

Pengenalan

Statistik yang diperolehi daripada laman sesawang Wyscout menunjukkan Mount lebih banyak beroperasi di bahagian sebelah kiri, serta kerap turun ke kawasan lebih dalam (deep area) bagi membantu ansur maju pergerakan bola ke kawasan yang lebih tinggi (serangan).

Infografik yang ditunjukkan oleh Wyscout ini membuktikan kadar kerja yang dipamerkan oleh Mount menerusi pergerakan yang aktif ini bakal membawa nilai tambah buat pasukannya ketika berada dalam fasa serangan dan juga bertahan.

Pergerakan tanpa bola

Namun salah satu kekuatan teknikal yang dimiliki oleh Mount adalah kemampuannya untuk memecahkan blok pertahanan lawan menerusi pergerakan tanpa bola yang kerap dilakukannya.

Menerusi gambar di atas, Mount melakukan gerakan helah (decoy movements) yang menarik keluar pemain lawan bersamanya, sekali gus mencipta ruang yang mampu dieksploitasi oleh rakan sepasukannya yang lain.

Gerakan helah ini berpotensi untuk mencarikkan blok pertahanan lawan yang disusun kompak, sekali gus membolehkan United mencipta gerakan serangan yang mampu membawa kepada peluang jaringan gol.

Mount juga mampu menjadi kunci kepada kesukaran United untuk menembusi blok pertahanan lawan yang disusun secara mid blocks mahupun low blocks menerusi kualiti larian sokongan yang dimilikinya.

Ansur maju kepada pergerakan bola

Mount memiliki fleksibiliti dalam aspek menggerakkan bola ke hadapan di mana beliau mampu beroperasi di kawasan dalam (deep area), serta berbahaya ketika beroperasi di poket ruang yang ditinggalkan pasukan lawan.

Ketika United sedang membina gerakan serangan yang tersusun, Mount tidak keberatan untuk turun ke bawah bagi membantu kepada pergerakan bola pasukannya.

Kemahiran untuk mengenalpasti ruang, opsyen serta visi hantaran yang dimilikinya berupaya untuk meletakkan United dalam posisi serangan yang berkualiti.

Fleksibiliti ini juga dilihat mampu mengurangkan beban ke atas Bruno Fernandes yang kerap menggalas tugasan beroperasi di kawasan bawah ketika kempen domestik serta Eropah musim lalu.

Kualiti hantaran penembusan yang mampu dilakukannya meskipun berada di bawah tekanan hebat oleh pemain lawan turut mampu membantu United untuk membelah barisan pertahanan lawan dengan lebih pantas serta berkesan.

Fokal serangan pasukan

Mount juga mampu memainkan peranan sebagai fokal serangan buat pasukannya dengan mengeksploitasi kemampuannya untuk melakukan kombinasi permainan pantas bersama rakan sepasukan bagi memecahkan blok pertahanan lawan.

Menerusi gambar di atas, Mount bijak untuk berada di posisi ideal bagi membantu bukaan lorong hantaran buat rakan sepasukannya. Kemampuannya untuk melakukan kombinasi permainan pantas bersama rakan sepasukan berupaya meruntuhkan blok pertahanan lawan dengan pantas dan berkesan.

Mesin tekanan

Sewaktu bermain di Chelsea di bawah kendalian Thomas Tuchel, Mount memainkan peranan penting bagi mengetuai tekanan (pressing) ke atas pemain lawan.

Peranan ini dilihat bersesuaian dengan sistem permainan Ten Hag yang mahu mendominasi perlawanan serta memperoleh kawalan ke atas permainan serta pasukan lawan.

Oleh itu, pendekatan secara high pressing akan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah berikutan kemahiran Mount dalam tugasan bertahan ini.

Menerusi gambar di atas, Mount bijak mengenalpasti isyarat bagi memulakan tekanan sebaik sahaja pemain lawan menerima hantaran bola dengan menggunakan kaki yang tidak dominan.

Ia sekali gus membantu dirinya untuk merampas penguasaan bola dan meletakkan United dalam fasa transisi serangan yang merrbahaya, namun ianya tidak dapat disempurnakan oleh Mount apabila percubaannya sedikit tersasar.

Pelaburan jangka panjang United

Perpindahan Mount ini dilihat sebagai pelaburan masa panjang yang baik dilakukan oleh pengurusan United.

Kualiti teknikal, kebijaksanaan taktikal, serta visi permainan yang dimilikinya mampu menjadikan United sebagai salah satu pasukan pencabar kejuaraan Premier Leauge serta kejohanan UEFA Champions League pada musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN