‘Undian syok sendiri’ adalah antara ungkapan popular usai majlis Undian TM Piala Malaysia 2020 pada 1 November lalu. Ini kerana Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat telah mendapat laluan mudah untuk melangkah ke pentas final.
JDT sememangnya berupaya untuk menempah sekali lagi tiket ke final apabila tidak akan bertembung dengan mana-mana pasukan besar seperti Terengganu FC, Kedah, Perak, Pahang ataupun Selangor sepanjang laluan ke final. Bagi pemerhati bebas yang dipanggil dalam proses undian tempohari, nyata tuah berpihak kepada JDT.
MFL nafi undian Piala Malaysia ‘syok sendiri’ https://t.co/FLkjTLN7dR
— Utusan Malaysia (@UMonline) November 2, 2020
Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Jasni Shafie menegaskan yang perjalanan majlis undian dilakukan telus tanpa sebarang keraguan. Dijemput sebagai pemerhati bebas bersama seorang lagi wakil, beliau telah melihat sendiri bagaimana proses undian tersebut berjalan pada Ahad lalu.
Jelasnya di laman Facebooknya, “Dalam undian, ia sebenarnya lebih kepada ‘luck’ atau tuah. Jika pasukan kita bernasib baik diundi untuk mendapat laluan mudah, maka tuah sebenarnya memihak kepada kita. Jika undian menentukan pasukan kita berdepan laluan mencabar, terimalah dengan berlapang dada.”
“Saya sendiri telah meminta untuk memeriksa setiap bola berwarna biru dan oren yang akan dimasukkan kertas bertanda nama pasukan-pasukan yang diundi. Bukan tidak mempercayai ketelusan dan kredibiliti MFL [Liga Bolasepak Malaysia], tetapi ia untuk memastikan tidak ada sebarang tanda tertentu.
“Jadi, adalah tidak wajar untuk mempertikaikan ketelusan proses undian ini,” tambah Jasni Shafie lagi sambil mahu setiap pasukan dan juga penyokong untuk bersama menerimanya dengan penuh semangat kesukanan dan berjiwa besar.
Begitupun, baginya, keprihatinan peminat bola sepak terhadap hasil undian Piala Malaysia tempohari menjadi bukti bahawa merekalah sebenarnya antara yang menghidupkan bola sepak di Malaysia. Tegasnya lagi, “Ia berjalan dengan telus.”
Selain Jasnie Shafie, Ketua Unit Perundangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Shahida Bashirah Hishamuddin, turut dijemput menjadi pemerhati bebas.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan juga telah berkata yang proses undian adalah telus. Menurutnya, tidak timbul isu undian berat sebelah seperti yang didakwa sesetengah pihak kerana MFL sebagai badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) telah melaksanakan tanggungjawab secara profesional.
KREDIT FEATURED IMAGE: MFL
Baca lagi artikel mengenai undian dan Piala Malaysia 2020:
Piala Malaysia 2020: Laluan Mudah Buat JDT, Pertempuran Sengit Di Medan Satu Lagi
Perubahan Format Saingan Piala Malaysia 2020 Beri Peluang Seimbang